Berita

Sektor ekonomi dibuka berperingkat

KEJAYAAN mencapai imuniti kelompok melebihi 80 peratus menjadi pemangkin kepada Kuala Lumpur untuk mencerdaskan sektor ekonomi dengan segera.
- Diterbit 20 Ogos 2021 12:00 PM MYT

KEJAYAAN capaian imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dewasa bakal merancakkan semula sektor ekonomi, sosial dan budaya di Kuala Lumpur sepertimana yang sedang dilalui Labuan masa ini.

Berkata mengenainya, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar memberitahu, KWP dan agensi di bawahnya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang meneliti proses pemulihan yang direncanakan supaya ia selaras penekanan dalam prosedur operasi standard(SOP) bagi pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi.

“Sudah pasti peralihan dari Fasa 1 kepada Fasa 2 dan Fasa 3, ia masih tertakluk kepada keputusan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan mengambil kira pelbagai sudut termasuk kesemua nilai ambang yang ditetapkan.

“Selain daripada pencapaian kadar vaksinasi yang telah melepasi sasaran, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kes harian yang dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus diawasi bagi memberikan semangat baharu untuk warga kota bekerja bersama-sama dalam membangunkan semula bandaraya ini,” katanya.

Menurut Rosida, keputusan membuka sektor ekonomi secara berperingkat dibuat bagi mengimbangi keadaan semasa setelah imuniti kelompok berjaya dicapai malah ia perlu dilaksanakan segera kerana keberadaan warga Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam Fasa 1 PPN adalah satu tempoh yang sangat panjang.

“Ketika ini Labuan telah mencatatkan 95 peratus imuniti kelompok untuk semua penduduk dewasa dan penduduknya sudah agak bebas untuk melaksanakan aktiviti ekonomi. Kuala Lumpur dan Putrajaya pula telah mencapai lebih 80 peratus imuniti kelompok untuk penduduk dewasa sekaligus dapat mempercepatkan pemulihan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kalau mengikut fakta, kita berada di dalam tempoh PKP bermula 1 Jun lalu sehingga kini dan ia telah menimbulkan terlampau banyak reaksi negatif dan ‘feel bad factor’ kepada rakyat Wilayah Persekutuan khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

“Ia juga telah menjejaskan produktiviti dan emosi. Penyegeraan program imunisasi berjaya membantu kerajaan menilai situasi semasa dan membuat keputusan untuk membuka sektor ekonomi sekali gus membangunkan motivasi orang ramai termasuklah anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Rosida berkata, kerajaan turut prihatin dengan kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun yang belum mendapatkan vaksin untuk membenarkan golongan ini menjalankan aktiviti di kawasan tumpuan awam.

Menyentuh aspek pematuhan SOP di Wilayah Persekutuan pula, beliau memberitahu, ia adalah sama dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN.

Malah beliau memaklumkan, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memerangi wabak COVID-19 walaupun 11 sektor ekonomi telah dibenarkan.

“KWP juga mengambil maklum golongan rentan yang terdiri daripada ibu tunggal, B40 dan individu yang menjadi miskin tegar sekelip mata adalah paling teruk terjejas disebabkan pandemik ini. Oleh itu, KWP menyediakan dua program yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Ia adalah program MYGrocer@Wilayah iaitu peluasaan operasi trak MYGrocer ke seluruh lokasi projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA), dengan pemilihan usahawan diberi keutamaan di kalangan golongan B40,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas