Berita

Warga kota sedia buka sektor ekonomi

11 sektor ekonomi mula dibuka Isnin lalu memberi sinar baru buat peniaga yang terpaksa menutup
- Diterbit 21 Ogos 2021 1:00 AM MYT

WARGA kota menghela nafas lega apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai wilayah kedua yang mencapai imuniti kelompok baru-baru ini.

RISK SAIDON

Berkongsi perasaan mengenainya, Risk Saidon, 23, memberitahu, dia berasa lebih selamat untuk keluar dari rumah apabila Kuala Lumpur telah mencapai imuniti kelompok memandangkan ibu negara itu merupakan pusat ekonomi.

Malah, dia turut berharap lebih banyak sektor dapat dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kuala Lumpur bandar yang sangat padat dan kalau lebih banyak ekonomi dibuka semula, kita akan lihat lebih ramai orang mula keluar dari rumah untuk pelbagai aktiviti. Jadi akan rasa lebih selamat apabila kebanyakan orang sekeliling sudah mengambil vaksin.

“Harapnya sektor-sektor ekonomi dapat dibuka semula, namun dengan SOP yang ketat. Kita risau ramai yang hilang pekerjaan kalau ia berlarutan, tetapi pada waktu yang sama, kita perlu jaga keselamatan semua orang,” katanya kepada Wilayahku.

Risk turut menasihati orang ramai untuk tidak pentingkan diri sendiri dengan menolak vaksin kerana pengambilan imunisasi itu bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri malah keluarga, komuniti dan juga rakyat Malaysia secara amnya.

AHMAD AZIM

Bagi Ahmad Azim,19, yang juga sukarelawan di Rumah Prihatin@GrandSeasons, penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) antara faktor yang mendorong kejayaan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Langkah itu merupakan salah satu faktor terbesar yang menyebabkan kita dapat mencapai 80 peratus ‘herd immunity’ dengan cepat di Kuala Lumpur.

“Sebagai sukarelawan, saya akan terus berkhidmat di Rumah Prihatin sehingga kita dapat mencapai 100 peratus imuniti kelompok,” jelasnya yang juga pelajar Politeknik Nilai.

MUHAMAD
NAZIRUL

Menurut Muhamad Nazirul Rohaizam, 25, pula, kesungguhan pihak berwajib meyakinkan rakyat telah membuatkan Kuala Lumpur berjaya mencapai imuniti kelompok dalam masa yang singkat dan turut menasihati orang ramai untuk mengambil vaksin kerana setiap individu berhak menjalani kehidupan yang sihat.

Sementara itu, Muhamad Nazmi, 32, berkata, imuniti kelompok yang dicapai akan memberi impak positif buat dirinya yang bekerja sendiri kerana dapat beroperasi seperti sediakala.

“Tidak dinafikan bantuan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia perlu dipuji dan media seharusnya memainkan peranan untuk mengiklankan kebaikan vaksin agar rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu yang disebarkan golongan anti-vaksin,” tambahnya.

Pada Ahad lalu, Kuala Lumpur dilaporkan berjaya mencapai imuniti kelompok selepas 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas