Berita

Sedih Asrama Tahfiz Dirobohkan, AARON Tidak salahkan mana-mana pihak.

|KEADAAN asrama tahfiz selepas dirobohkan||AARON menegaskan kejadian asrama dirobohkan itu tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
- Diterbit 3 September 2020 2:01 AM MYT

LUAHAN sedih selebriti popular Datuk Aaron Aziz apabila sebuah asrama tahfiz dirobohkan semalam (Rabu)  menjadi perhatian ramai.

Walaubagaimanapun, Aaron Aziz, 44, berharap tiada spekulasi dibuat berkenaan asrama tahfiz yang terletak di Langkawi, Kedah itu.

“Tentang tahfiz saya tu, kepada netizen-netizen, tolong jangan buat andaian sendiri. Jangan buat spekulasi.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sebab itu saya cakap  luar dari Kawalan. Tidak boleh buat apa-apa

“Mungkin kalau ada orang yang patut disalahkan, sayalah orangnya yang patut disalahkan. Mungkin tak check (periksa) apa-apa,” luah Aaron Aziz melalui sebuah video yang dimuatnaik dalam instagramnya. 

KEADAAN asrama tahfiz selepas dirobohkan

Aaron yang membina asrama tahfiz tersebut bersama badan bukan kerajaan, Jouney To Insyirah ini  menegaskan apa yang berlaku tiada kaitan dengan kerajaan, politik, lesen atau permit. 

“Saya perlu umumkan (di instagram). Kalau saya bina sekali lagi, penderma-penderma akan bertanya. Jadi, saya cuma nak beritahu sahaja dan bukan nak menyalahkan mana-mana pihak.

“Saya pun tak mahu orang buat dosa apabila buat spekulasi dan timbulnya fitnah mana-mana pihak.

“Kita akan bina semula. Insya Allah.. tiada masalah. Terima kasih kepada semua dan wartawan yang prihatin. Saya tidak boleh bercakap banyak.

“Doakan saya, pihak Journey To Insyirah dan ahli jawatan kuasa, dipermudahkan segala urusan. 

“Jangan kita rumitkan keadaan lagi. Tiada siapa yang patut disalahkan. Kalau nak salahkan siapa-siapa, salahkan saya,” katanya lagi.

AARON menegaskan kejadian asrama dirobohkan itu tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, pelakon filem Abang Long Fadil, KL Gengster dan Ombak Rindu ini meluahkan rasa sedih apabila asrama tahfiz dirobohkan. 

“Kasihan tahfiz saya di Langkawi dirobohkan. Semoga Allah permudahkan segala Urusan di sana. Asrama anak-anak semua harus dibina semula,” katanya yang dalam perancangan membina semula asrama tersebut secepat mungkin. 

Semoga niat murni Aaron ini terus dipermudahkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas