Berita

DBKL tutup lif siasat kematian lelaki

- Diterbit 2 September 2020 2:03 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menutup lif di Perumahan Awam (PA) Sri Sabah yang mengorbankan seorang lelaki pagi tadi.

Dalam satu kenyataannya, DBKL berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kerosakan pada Lif 1, Blok 68, PA Sri Sabah 3B pada pukul 12:17 tengahari hari ini.

“Aduan dilakukan melalui Call Center syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan lif di kawasan perumahan tersebut.

“Juruteknik syarikat terbabit tiba di lokasi pada pukul 12:35 tengahari untuk menjalankan siasatan terhadap aduan dan mendapati terdapat jasad seorang lelaki di atas lif (cartop lif),” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, agensi-agensi yang terbabit iaitu Polis, Bomba, Persatuan Bulan Sabit Malaysia dan Unit Penyelamat DBKL tiba di lokasi kejadian.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan juga berada di lokasi terbabit untuk meninjau kejadian tersebut,” katanya.

Dalam insiden pagi tadi, seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas terjatuh di atas bumbung lif.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian disedari penduduk pada 1.15 tengah hari lalu menghubungi pihak polis.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki di atas bumbung lif berkenaan.

“Sebelum itu syarikat penyelenggara lif dihubungi penduduk yang membuat aduan berhubung kerosakan lif itu

“Penduduk kemudian membuat aduan berhubung bunyi dentuman kuat sebelum pekerja syarikat penyelenggara menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di atas bumbung lif itu,” katanya. –OLEH AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas