Berita

MR. D.I.Y. tawar diskaun 25 peratus untuk barangan buatan Malaysia

- Diterbit 3 September 2020 2:26 AM MYT

SEMPENA sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi, peruncit perkakas rumah di Malaysia, MR. D.I.Y. menawarkan diskaun sehingga 25 peratus untuk lebih 30 produk buatan tempatan terpilih di semua cawangannya di seluruh negara.

Naib Presiden Pemasarannya Andy Chin berkata kempen ‘Proudly Made in Malaysia’ yang bermula semalam (1 Sept) hingga 30 Sept adalah bagi menyokong ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ oleh Kerajaan dan juga untuk menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan tempatan bagi memacu ekonomi negara.

“MR. D.I.Y. sentiasa berusaha memainkan peranannya untuk menyokong rakyat Malaysia dengan memenuhi janji kami dengan menyediakan produk berkualiti kepada mereka pada ‘Harga Sentiasa Rendah’.

“Kempen penjenamaan terbaru kami ‘Kita Jaga Harga Kita – Termurah Demi Rakyat Malaysia’ mencerminkan komitmen ini untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin berharap kempen itu juga akan memberi inspirasi kepada pengeluar, pengedar dan peruncit tempatan untuk turut sama memberi sokongan terhadap jenama, produk dan perkhidmatan tempatan.

“Rangkaian produk buatan Malaysia merangkumi botol air, bekas makanan, koleh keluli tahan karat, mop, penyapu, tong sampah, penyangkut baju, kotak peralatan, kotak penyimpanan, alas tandas, dulang but kereta, produk penjagaan kereta, buku nota, dan banyak lagi,” katanya.

Antara jenama tempatan Malaysia yang diberikan diskaun adalah Elianware, LAVA, Felton, WAXCO, RAYACO, dan MR. D.I.Y.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web syarikat, di www.mrdiy.com.my serta laman Facebook atau Instagram di @mrdiy2u. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas