Selebriti

Sebelum ditidurkan, dia minta duit dalam akaunnya disedekahkan – Pengurus Siti Sarah

||NANA tidak dapat menahan sebak bercerita tentang kebaikan Siti Sarah
- Diterbit 9 Ogos 2021 10:35 PM MYT

MULIANYA hati Allahyarham penyanyi Siti Sarah yang sangat suka bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Menurut pengurusnya, Nana Mohammad Rom, Siti Sarah sentiasa berusaha untuk membantu ramai orang susah dalam diam dan tidak mahu dihebahkan.

NANA tidak dapat menahan sebak bercerita tentang kebaikan Siti Sarah

Malah isteri kepada pelawak Shuib yang itu banyak membantu rakan-rakan dalam industri dan media sosial dalam meringankan beban mereka.

“Dia paling suka menderma, selalu menderma sana-sini. Kalau ada orang mesej di Instagram perlukan bantuan dia akan bantu. Tapi Sarah tak suka orang tahu dan tak mahu bercerita… tapi kita pihak pengurusan tahu mengenai perkara itu!

“Yang terbaharu, sebelum dia menaiki ambulans untuk ke hospital (HUKM Kuala Lumpur), dia pindahkan wang pada satu akaun miliknya kepada ibu tirinya dan minta ia disedekahkan.

“Sebelum ditidurkan, dia ada minta pembantunya ambil semua produk tudung keluaran untuk disumbangkan kepada jururawat di hospital itu,” ujarnya kepada Wilayahku.

Nana ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Isnin.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungan berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011.

Selain Ayash Affan yang kini masih dipantau di PPUKM, mereka turut memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia 6 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas