WK2

Teruja tunggu Melur, Wira dan Hebat lahir

PENJAGA HARIMAU ZOO NEGARA
UMAR Ashraf membersihkan kandang anak harimau supaya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.
- Diterbit 26 September 2019 10:02 AM MYT

SELEPAS dua kali gagal memperoleh anak Harimau Malaya, kehadiran Melur, Wira dan Hebat amat dinanti-nantikan semua pihak terutama penjaga haiwan itu sendiri.

Tambahan pula, kehadiran tiga anak harimau tersebut sejajar dengan seruan kerajaan yang mahukan populasi Harimau Malaya ditingkatkan bagi mengelak kepupusan.

Salah seorang penjaga atau ‘keeper’ harimau di Zoo Negara, Umar Ashraf Anuar,32, berkata, anak harimau yang berusia empat bulan itu merupakan kelahiran kali ketiga ibu Harimau Malaya, Keyla dan pasangannya, Jati atau lebih dikenali Abang Besar.

“Bila dapat tahu hari pertama harimau yang dijaga melahirkan anak, kami rasa sangat gembira sebab ia lambang kemegahan negara dan pada masa sama boleh tambah populasi haiwan itu.

“Bukan senang hendak buat harimau beranak dalam kawasan kurungan sebab benda ini jarang berlaku, tambahan pula tempat bersimen. Jadi kita sediakan guni untuk berikannya keselesaan.

“Ini kali ketiga Keyla beranak, sebelum ini selepas beranak, dia akan memakan anaknya. Harimau atau apa-apa spesies kucing sekiranya dia tengok anak dalam keadaan tidak boleh hidup atau cacat, dia akan makan anaknya sebab dia tahu bila besar anak tersebut tidak boleh hidup selain mahu jaga reputasinya. Jadi, dia akan makan sebelum haiwan lain tahu,” katanya.

Menurut Umar Ashraf, kali pertama bunting, Keyla melahirkan tiga ekor anak harimau manakala kali kedua pula hanya seekor.

“Yang pertama dan kedua dia makan. Kali pertama mungkin sebab baru menjadi ibu dan dia tidak tahu serta terkejut. Yang kedua, mungkin sebab dia mahu mengawan dan rasa anaknya mengganggu.

“Kali ketiga ini berjalan lancar, dia jaga elok dan ketiga-tiga mendapat susu ibu serta makanan,” jelasnya yang berpengalaman lebih lima tahun.

Selepas mendapati keadaan ketiga-tiga anak harimau berkenaan berada dalam keadaan baik, penjagaan sepenuhnya diserahkan kepada ibu manakala keeper hanya memerhati dan memantau di samping menyediakan keselesaan serta makanan sihat.

Katanya, makanan yang diberikan kepada ibu berkenaan juga ditambah dengan kalsium dan protein supaya anak-anak harimau mendapat khasiat yang secukupnya.

“Haiwan ini, bila ada anak kita tidak boleh terlalu masuk dalam kandang sebab nanti dia terganggu. Kita akan biar keeper sahaja pergi tengok sama ada ibu menjaga anak atau tidak. Alhamdulillah lepas empat bulan anak masih bersama ibu dan dijaga dengan baik,” ujarnya.

Menceritakan pengalamannya menjaga harimau, Umar Ashraf berkata, semasa sedang bunting, perangai harimau berubah iaitu ia akan marah apabila pasangan datang mendekatinya atau mengamuk serta melarikan diri manakala selepas dimasukkan ke dalam kawasan kurungan malam, haiwan itu akan mundar mandir dan menyendiri.

Katanya, cara untuk mengetahui harimau bunting adalah melalui pengamatan pada puting yang akan kelihatan bengkak.

“Masa nampak puting bengkak, usia kandungan mungkin dalam dua bulan kerana harimau bunting dalam tempoh tiga atau empat bulan seperti kucing domestik dan bermula dari itu, kita memberinya makanan yang ditambah dengan kalsium dan protein,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia juga menyatakan sepanjang pengalaman menjaga kandang harimau, dia tidak pernah dicakar atau digigit kerana keselamatan diri menjadi keutamaan selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas