Berita

“Saya, ayah hampir dimamah api” – Kumari

PASUKAN Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI, Hartamas dan Sentul sedang
- Diterbit 14 Januari 2022 4:38 AM MYT

SEDANG insan lain lena diulit mimpi, lima buah keluarga di rumah panjang Bukit Kiara Kuala Lumpur bertarung nyawa menyelamatkan diri, apabila kediaman mereka terbakar.

Kebakaran yang memusnahkan 100 peratus kediaman lima keluarga itu berlaku dengan pantas berikutan rumah papan yang dibina telah berusia hampir 40 tahun.

Berkongsi detik cemas itu, L Krishna Kumari, 61, berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga hampir terperangkap dalam kebakaran kerana gagal menemukan kunci rumah berikutan api marak dengan cepat.

“Sejurus dikejutkan dengan deruan ketukan pintu daripada jiran, saya mencari kunci rumah tetapi gagal menemukannya.

“Api yang marak membuatkan saya menjerit meminta bantuan untuk menyelamatkan diri serta ayah yang sedang terlantar sakit dan tidak boleh bangun,” katanya yang pada awalnya menyangkakan bunyi bising adalah disebabkan pergaduhan.

Berikutan kejadian itu, saksi utama, P Selvakumar, 32, memanggil jiran tetangga untuk membantu membawa keluar ayah Krishna yang terperangkap.

“Melihat mangsa mengalami kesukaran tersebut, kami mengambil keputusan untuk memecahkan pintu rumahnya demi menyelamatkan nyawa mereka.

“Suasana pada ketika itu sangat panik dan kami bernasib baik kerana pihak bomba hanya mengambil masa 10 minit, kalau lambat mungkin ia akan memusnahkan lima buah rumah lain,” kongsinya yang hanya mahu menyelamatkan nyawa penduduk ketika itu.

KEADAAN asal rumah panjang, Bukit Kiara sebelum kebakaran berlaku pada Ahad lalu.

K Supramaniam, 60, turut berkongsi cerita memberitahu, kejadian berlaku ketika seluruh ahli keluarganya sedang tidur.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan yang kuat dan ada jiran datang mengetuk pintu rumah mengarahkan untuk mengosongkan rumah.

“Ketika itu baru saya sedar yang rumah ini sedang terbakar dan keadaan ketika itu sangat panas berikutan api sedang marak. Jadi kami sekeluarga terus keluar tanpa sempat membawa satu barang pun,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami sebanyak RM12,000.

Supramaniam berkata, kediamannya selama 39 tahun itu menyimpan pelbagai memori suka dan duka di mana setiap barang di dalam rumah tersebut mempunyai kenangannya tersendiri.

“Barang-barang untuk Thaipusam juga habis terbakar. Saya ada beli barang sembahyang di Indonesia dahulu dan sukar untuk dapatkan barang itu semula memandangkan tidak dijual lagi tapi itu pun sudah hangus.

“Mungkin bagi orang lain perkara itu biasa sahaja tetapi tidak bagi saya kerana hanya saya tahu nilai barang tersebut. Gambar-gambar turut hangus dan tiada ganti,” ujarnya sebak.

Jelas saksi utama, kebakaran disedari apabila dirinya keluar rumah dan terlihat seakan lampu berwarna oren di kawasan kejadian.

Atas dasar ingin tahu, dia berjalan ke arah cahaya tersebut dan melihat sebuah rumah sedang terbakar sebelum menjerit mengarahkan penduduk lain menyelamatkan diri.

Terdahulu, kebakaran yang berlaku pada malam Ahad itu telah memusnahkan lima buah unit rumah panjang, blok K di Jalan Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail manakala satu unit terjejas kerana digunakan untuk proses pemadaman api. Walaubagaimanapun, tiada kemalangan jiwa di laporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas