Berita

Lanjutan IWBB langkah terbaik – PPMM

LANJUTAN Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dapat membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara. LANJUTAN Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dapat membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara.
- Diterbit 14 Januari 2022 4:20 AM MYT

INISIATIF Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) yang diperkenalkan untuk membantu golongan rentan terjejas sumber pendapatan wajar diteruskan meskipun kelonggaran telah diberikan dalam pembukaan sektor ekonomi di ibu kota.

MOHD AFIQ

Pengerusi Biro Keusahawanan dan Sosio Ekonomi Persatuan Pengguna Melayu
Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata, keputusan yang diambil dalam melanjutkan program IWBB sehingga Jun tahun ini bertepatan dengan situasi semasa selain memastikan kesinambungan program pencerdasan ekonomi golongan B40 dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

“Usaha yang dirintis ini sememangnya dapat menyelamatkan kehidupan golongan terjejas.

“Justeru itu, bandaraya Kuala Lumpur mesti memastikan program IWBB diteruskan dan agensi berkaitan mesti memudahkannya agar ia dapat membantu lebih ramai warga kota yang menjadikan bidang penjajaan sebagai alternatif untuk keluar dari kemiskinan bandar,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Selain itu, katanya, untuk perancangan jangka masa panjang, program ini wajar dibangunkan dengan strategik serta latihan dan pendidikan perniagan harus diberikan agar selari dengan semangat Revolusi Industri 4.0.

“Golongan yang baharu menjaja ini memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan dan agensi yang berkaitan. Agensi kredit milik kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu menawarkan bantuan kewangan bagi menyokong peniaga kecil supaya dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

“Kita juga tidak mahu peniaga kecil dan penjaja ini tercicir daripada era digitalisasi. Agensi yang berkaitan harus proaktif dan merangka program agar usahawan di ibu kota mendapat pendidikan dan pendedahan dengan penggunaan teknologi terkini seperti pembayaran melalui payment gateway dan seumpamaya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap program IWBB akan diteruskan selepas Jun ini bagi mengelakkan ketidaktentuan ekonomi yang lebih besar ekoran moratorium akan berakhir pada Febuari ini. Katanya, jika IWBB tidak diteruskan, ia boleh menjadi masalah kerana kelompok terlibat juga sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan dan ia mampu meningkatkan kadar jenayah sekiranya tidak ditangani dengan betul.

Ujarnya, meskipun jumlah peserta IWBB melebihi 4,500 orang, pihaknya berpendapat bahawa jumlah itu jauh lebih banyak memandangkan ramai yang tidak berdaftar dengan program itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas