Berita

Satu juta vaksin AstraZeneca dari Jepun tiba di KLIA hari ini

PESAWAT penerbangan Japan Airline JAL723 (Boeing 787) yang membawa bekalan vaksin tiba di Pintu C32 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.20 petang, tadi. Foto - BERNAMA
- Diterbit 1 Julai 2021 12:55 PM MYT

MALAYSIA menerima lagi sejuta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca sumbangan dari kerajaan Jepun bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bekalan vaksin berkenaan tiba di Pintu C32 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 (Boeing 787) pada 5.20 petang ini.

Menyaksikan ketibaan bekalan vaksin itu Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Ketibaan bekalan hari ini sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos sehingga 1 Julai.

Terdahulu, Duta Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan menghadiri penghantaran vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Chiba, Jepun pada 10.20 pagi (waktu Malaysia).

Vaksin AstraZeneca yang diterima hari ini akan dihantar ke pusat penyimpanan vaksin (PPS) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sarawak di bawah PICK.

Jepun telah bersetuju menyumbang jumlah yang sama vaksin AstraZeneca kepada Filipina, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, Oka berkata sumbangan vaksin daripada Jepun kepada Malaysia adalah simbol terbaharu persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Dalam perutusannya kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga berkata sumbangan itu adalah tanda persahabatan yang erat antara Jepun dan Malaysia,” kata Oka yang menurutnya tahun depan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas