Berita

Tiada pengedar persendirian untuk vaksin Pfizer – Pfizer Malaysia

MENURUT Pfizer Malaysia, firma gabungandi peringkat global tidak pernah mengizinkan sesiapapun untuk mengimport, memasarkan atau mengedarkan vaksin COVID-19.
- Diterbit 1 Julai 2021 1:08 PM MYT

PFIZER Inc atau firma gabungannya di peringkat global tidak pernah mengizinkan sesiapapun untuk mengimport, memasarkan atau mengedarkan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech dan pada masa ini tiada pengedar swasta diberikan kebenaran untuk mengedarkan vaksin itu di seluruh dunia, menurut Pfizer Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata kualiti dan keberkesanan sebarang vaksin yang diedarkan menerusi saluran yang tidak sah tidak boleh dijamin dan dilihat berpotensi membahayakan nyawa.

Pfizer Malaysia berkata ia komited untuk membawa masuk bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BionTech yang selamat untuk rakyat negara ini melalui kerjasama dengan Kerajaan Malaysia bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.

Menurut Pfizer Malaysia, mereka telah bekerja rapat dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) COVID-19, di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak permulaan pandemik.

“Kami menegaskan semasa fasa pandemik, Pfizer akan membekalkan vaksin COVID-19 hanya kepada kerajaan pusat dan organisasi supranasional seperti COVAX untuk mengatur kedudukan program pemvaksinan kebangsaan.

Untuk menangani krisis kesihatan global, semua perjanjian pembekalan vaksin COVID-19 semasa adalah secara terus dengan entiti kerajaan. Kami percaya mereka berada dalam kedudukan terbaik semasa pandemik untuk mengagihkan vaksin secara adil dan saksama merentasi populasi mereka,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas