Berita

Suntikan kedua dos AstraZeneca dipercepat kepada 9 minggu – Khairy

JUMLAH vaksinasi harian COVID-19 di negara ini mencatat angka melebihi 400,000 selama dua hari berturut-turut dengan 424,541 dos suntikan diberikan semalam. SERDANG, 5 Mac -- Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang disuntik menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) ketika tinjauan media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 hari ini.
- Diterbit 1 Julai 2021 12:36 PM MYT

JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersetuju untuk mempercepatkan suntikan kedua dos vaksin AstraZeneca (AZ) daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata lebih satu juta penerima suntikan pertama AZ pada Mei lepas akan menerima notifikasi secepat mungkin untuk mendapatkan suntikan kedua.

“Berdasarkan mesyuarat JKJAV minggu lepas dan sumbangan vaksin Kerajaan Jepun, kita setuju untuk kurangkan tempoh masa suntikan kedua dos vaksin AZ kepada sembilan minggu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan ketibaan vaksin AZ sumbangan Kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.

Mengenai isu 700,000 warga emas yang mendaftar untuk PICK tetapi masih belum menerima suntikan vaksin, Khairy berkata isu berkenaan akan diselesaikan dalam bulan ini.

Beliau menjelaskan isu itu timbul akibat kekurangan bekalan vaksin.

Khairy turut memaklumkan satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka dikeluarkan esok atau minggu hadapan berkenaan keputusan bagi membenarkan suntikan vaksin jenis Pfizer diberikan kepada golongan remaja.

Bercakap mengenai vaksin AZ yang diterima daripada Kerajaan Jepun, Khairy berkata sumbangan itu akan meningkatkan keupayaan PICK.

Vaksin yang diterima akan diagihkan kepada semua pusat pemberian vaksin (PPV) yang menggunakan AZ di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak secepat mungkin, katanya.

Khairy yang berterima kasih kepada Kerajaan Jepun berkata sumbangan itu juga adalah simbolik kepada tanda keakraban hubungan antara Jepun dan Malaysia dan yakin sumbangan berkenaan akan terus memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Sumbangan itu menjadikan jumlah vaksin AZ yang telah diperoleh oleh negara setakat 1 Julai adalah sebanyak 1,828,000 dos.

Terdahulu, penerbangan Japan Airlines JAL723 yang membawa satu juta dos vaksin AZ mendarat kira-kira 5.20 petang di KLIA.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Menurut kenyataan JKJAV, bekalan daripada sumbangan vaksin itu akan diutamakan untuk inisiatif sukarela pengambilan vaksin AZ yang telah dijalankan bagi memastikan kelancaran operasi vaksinasi bagi usaha tersebut sebelum lebihannya dimasukkan ke dalam PICK.

Bekalan vaksin AstraZeneca yang diterima hari ini dihasilkan oleh syarikat Daiichi Sankyo Biotech di Saitama, Jepun dan telah diluluskan oleh Pharmaceuticals and Medical Devices Agency (PMDA), agensi di bawah Kementerian Kesihatan Jepun pada 21 Mei lepas.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga akan membuat penilaian untuk mendapatkan kelulusan Lot Release bagi penggunaan vaksin ini di Malaysia,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas