Sate tuna simbolik makanan Labuan
ENAK dinikmati bersama kuah khas menggunakan kicap dan cili.

Sate tuna simbolik makanan Labuan

BILA disebut ikan tuna terbayang di fikiran kita satu hidangan makanan yang mewah dan hanya segelintir sahaja yang pernah merasainya.

Kita selalu hanya makan sate ayam dan daging. Namun apabila ikan tuna dijadikan sate, ia mungkin menimbulkan rasa aneh dan janggal, akan tetapi tidak kepada penduduk di Labuan.

Dahulunya, ikan tuna hanya dinikmati oleh golongan bangsawan, namun tidak lagi kerana kini semua golongan dapat merasai kelazatan ikan tuna dengan merasai sate tuna ini.

Tidak hairanlah pengunjung yang bertandang ke Duan Satay, di Kampung LayangLayangan mengakui kelazatan sate tuna itu sehinggakan kuah pencicahnya lain daripada lain.

Secara umumnya, ikan tuna sirip kuning sebagai ikan termahal kedua di dunia selepas tuna sirip biru.

“Kami buat kuah yang khas, menggunakan kicap dan cili bagi mengekalkan rasa ikan dan cara untuk memasak juga berbeza kerana sate tuna hanya di masak 30 peratus sahaja bagi mengekalkan khasiat yang ada.

Diusahakan oleh Mohamad Khairul Abdul Ghani, 40, menggunakan nama Island Tuna, beliau merupakan wakil tunggal yang menyediakan sate tuna itu selain mengeluarkan produk berasaskan ikan tuna.

RASA Sate Tuna milik Mohamad Khairul mempunyai keunikan tersendiri dan enak.

Mula mengusahakan perniagaan sejak awal Januari tahun lalu, Mohamad Khairul mengekalkan kualiti sate itu dengan menggunakan isi ikan tuna segar.

Menurut Mohamad Khairul, dia juga mengenakan harga RM 1.80 untuk satu cucuk sate kepada pelanggan dan harga itu dilihat sebagai mampu milik.

“Untuk kekalkan kelazatan dan kualiti sate, saya pilih ikan tuna sirip kuning kerana isinya
berkualiti serta segar.

“Setiap hari, saya dan pekerja akan periksa tahap kesegaran ikan dari segi warna dan fizikal sebelum ia dijadikan sate,” katanya ketika ditemui Wilayahku, baru-baru ini.

Beliau berkata sate tuna mempunyai tahap ketahanan yang agak lama sehingga dua tahun dan dibungkus menggunakan bungkusan yang khas.

Mohamad Khairul berkata, sate tuna yang dihasilkan mempunyai dua pilihan iaitu sate tuna madu dan sate tuna premium.

Sate tuna mempunyai kandungan vitamin tinggi iaitu 42 peratus dan rendah kalori berbanding sate ayam atau daging dikira sesuai untuk penggemar sate yang mementingkan kesihatan.

CATEGORIES