Sasterawan Negara kemala meninggal dunia
Gambar: Sinar Harian

Sasterawan Negara kemala meninggal dunia

SASTERAWAN negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Damansara, di sini hari ini.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata jenazah Allahyarham dimandikan serta disembahyangkan di Surau As Shahabah, Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.

Menurutnya, Allahyarham yang meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari tadi sebelum ini berada dalam keadaan uzur dan menghidap beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang.

“Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan dalam bentuk penulisan, pembangunan sastera dan melahirkan penulis baharu menerusi Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) diasaskan beliau, “ katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata menerusi NUMERA Allahyarham berusaha menyatukan kesusasteraan Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Kegigihan beliau yang bergerak bukan atas dasar kapasiti peribadi ini sememangnya sukar untuk digantikan,” katanya lagi.

Ahmad Kamal, 80, menerima anugerah Sastera Negara ke-11 pada 2012 dan pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968 sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Allahyarham aktif dalam karya sastera dan mula menulis sajak sejak sekolah rendah dan hasil penulisannya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )