Berita

IMT-GT rangka kerjasama sosio-ekonomi tiga negara serantau

PENGERUSI IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail . Gambar - Puncak Niaga PENGERUSI IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail . Gambar - Puncak Niaga
- Diterbit 27 Oktober 2021 9:06 AM MYT

GAGASAN Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) akan mengadakan Sidang Kemuncak Kali ke-13 secara maya esok yang bertujuan memperkukuhkan permuafakatan dan rangka kerjasama sosio-ekonomi tiga negara serantau yang diasaskan sejak 28 tahun lalu selari dengan permuafakatan ASEAN.

Sidang kemuncak itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku pengerusi semasa IMT-GT; Presiden Republik Indonesia, Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail akan meneruskan falsafah IMT-GT sebagai satu wadah penggerak pertumbuhan ekonomi oleh sektor swasta dan dipermudah cara oleh sektor kerajaan.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran pemimpin dan delegasi dari negara-negara anggota ke sidang kemuncak serta mengharapkan keberhasilan dari sidang yang mampu merangka dasar dan program pemulihan ekonomi serantau dengan pantas dan cekap,” katanya yang akan mengetuai delegasi komuniti perniagaan Malaysia.

Menurut Tan Sri Rozali, Pelan Pembangunan Wilayah IMT-GT yang dizahirkan melalui Kerangka Pelaksanaan (Implementation Blueprint) 2017-2021 telah terjejas dengan ketara akibat daripada pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, Majlis Bersama Perniagaan Malaysia bersama-sama komuniti perniagaan umumnya mengharapkan sidang kali ini dapat mengambil ketetapan dalam menggerakkan dasar-dasar serta program yang pantas bagi memulihkan ekonomi.

“Selain itu, ia diharap dapat meneroka bidang-bidang keutamaan yang berimpak tinggi serta meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan untuk membuat pelaburan semula dalam sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk,” jelasnya.

Tambahnya, beliau optimis pemimpin-pemimpin negara IMT-GT akan bersepakat untuk meningkatkan inisiatif vaksinasi di negara masing-masing dan bersedia untuk membuka ekonomi, sempadan dan perjalanan rentas negara dalam tempoh terdekat bagi memulihkan sektor-sektor yang terjejas.

“Kami berharap pemimpin-pemimpin sidang puncak ini akan memberikan komitmen untuk melaksanakan beberapa dasar fiskal dan pentadbiran dengan memberikan insentif kepada sektor perniagaan untuk terus dibuka berasaskan norma baru yang mesra perniagaan.

“Sokongan kerajaan-kerajaan negara anggota sangat diharapkan dalam memperkasakan inisiatif pendigitalan perniagaan dan urusniaga rentas sempadan, pengurangan birokrasi serta peningkatan kecekapan pengurusan pergerakan dagangan dan manusia di sempadan serta pengukuhan jaminan keselamatan kesihatan di negara-negara anggota.

“Selamat bersidang kepada pemimpin-pemimpin negara anggota dan
delegasi persidangan dan berharap penggunaan saluran virtual sebagai
wadah persidangan dalam norma baharu akan meningkatkan kecekapan
pengurusan ekonomi negara-negara anggota,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas