Putrajaya bandar pertama Asia Tenggara hos ke-38 IBBY International Congress
AZMI (kiri) bersama Presiden MBBY, Datuk Ahmad Redza Ahmad Khairuddin menyerahkan dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi di antara Perbadanan Putrajaya dengan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) hari ini.

Putrajaya bandar pertama Asia Tenggara hos ke-38 IBBY International Congress

PEMILIHAN Putrajaya sebagai tuan rumah bagi penganjuran ke-38 IBBY Congress 2022 Putrajaya dilihat selaras dengan fungsi dan aspirasi ke arah mewujudkan pusat pentadbiran negara yang cemerlang dalam pelbagai aspek dan hubungan antarabangsa.

Bertemakan ‘The Power of Stories’, kongres yang bakal diadakan akan meneroka kisah dalam sastera kanak-kanak, budaya dan sistem pendidikan di seluruh dunia.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, persidangan tersebut dijangka akan dihadiri oleh penulis, penerbit, pelukis serta pencerita dari 83 buah negara.

“Kehadiran mereka memberi peluang untuk berkolaborasi, cetusan idea dan perspektif kepada penulis tempatan dalam karya penulisan serta ilustrasi baharu masing-masing yang seterusnya dapat menjamin penerbitan buku yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Kongres ini juga berpotensi untuk membantu usaha pengeksportan kandungan buku tempatan di Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Penganjuran ini dapat memanfaatkan perpustakaan Putrajaya dan kanak-kanak melalui sumbangan buku cerita berilustrasi yang berkualiti,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi di antara Perbadanan Putrajaya dengan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) di sini hari ini.

Lebih menarik, Putrajaya adalah bandar pertama di Asia Tenggara yang terpilih menjadi hos IBBY International Congress dan bandar keempat di peringkat Asia selepas New Delhi, Tokyo dan Macau.

Tambahnya, PPj juga dalam perancangan untuk mengadakan lukisan mural penceritaan kanak-kanak beserta ‘QR Code’ penceritaan di setiap mural.

“Tiga kawasan yang dikenal pasti untuk diadakan ‘mural garden’ berkonsepkan laman cerita dengan plbagai lukisan mural penceritaan adalah di Sisiran Tasik Presint 4, Taman Seri Empangan dan Dataran Putrajaya.

“Secara tidak langsung, ‘Putrajaya Mural Gardens’ akan menjadi daya tarikan pelancongan baru Putrajaya dan para peserta kongres akan turut dibawa melawat dan merakam kenangan bergambar di taman itu,” jelasnya.

Beliau berharap kongres ini dapat dijadikan pemangkin dalam meningkatkan kedudukan Putrajaya di persada antarabangsa dan juga membantu melonjakkan sektor pelancongan Putrajaya. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )