Artikel

Sasar emas boling SUKMA 2022

AKSI SIti nurnadia sentiasa bertenaga.
- Diterbit 23 Disember 2020 4:04 AM MYT

KECEDERAAN bukanlah perkara asing bagi seseorang yang bergelar atlet dan ia semestinya bukan pengakhiran kepada Siti Nurnadia Ismail yang cedera di pergelangan tangan ketika sesi latihan pada 2019.

Malah, atlet boling Wilayah Persekutuan yang berusia 21 tahun ini kembali aktif dan giat menjalani latihan untuk ke temasya SUKMA edisi ke-20 yang bakal diadakan di Johor pada 2022.

Dia yang juga pemenang pingat emas di SUKMA Perak 2018 nekad untuk mempertahankan kejuaraan yang dikecapi selain yakin mampu pulih menerusi latihan pemulihan dan fisioterapi.

“Persediaan saya adalah dengan menjalani latihan yang mencukupi di ‘lane’ dan juga latihan fizikal di gim.

“Selain itu, saya berusaha untuk lebih fokus dalam menjalani latihan pemulihan yang diberikan fisioterapi dan kembali berlatih untuk menggantikan semula hari-hari dalam tempoh ‘berehat’ ekoran kecederaan yang dialami,” katanya yang mula bermain boling sejak berumur lapan tahun.

Siti Nurnadia yang juga pelajar ijazah sarjana muda tahun kedua dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Biokimia) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersemangat untuk memberikan yang terbaik walaupun pada masa ini berhadapan dengan wabak COVID-19 yang mengehadkan latihan.

Bercerita lanjut, dia juga berharap diberi peluang untuk menyertai kejohanan di luar negara pada tahun hadapan jika keadaan mengizinkan.

“Walaupun latihan terpaksa dihentikan buat jangka masa yang lama, saya percaya bahawa kesihatan lebih penting dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi ketika menjalani latihan di Sunway Pyramid, Selangor,” katanya.

“Jurulatih pasukan boling, Alisha Iman memberitahu bahawa akan ada kejohanan di luar negara tetapi belum ada kepastian kerana masih mempunyai keraguan untuk merentasi sempadan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku. – AFIFAH AFIZAL

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas