Artikel

EWRF komited perkukuh modal insan

KURSUS Kemahiran - perkhidmatan selenggara penyaman udara.
- Diterbit 23 Disember 2020 3:36 AM MYT

YAYASAN Pendidikan, Kebajikan & Penyelidikan Malaysia (EWRF) ditubuhkan sejak 1979 sebagai organisasi bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan, telah memainkan peranan signifikan khususnya di dalam membangunkan modal insan masyarakat di Malaysia terutamanya kaum India.

Kredibiliti serta efisiensi organisasi ini mencorak masa depan anak muda berbangsa India, tidak dapat disangkal lagi malah peranan yang digalas dalam memperkasa anak bangsa terbukti berjaya memberi impak sosial kepada murid-murid dan remaja yang keciciran dalam akademik, kembali digilap menjadi insan berguna.

Mengulas mengenai keberkesanan fungsi EWRF, Pengerusinya, Govindasamy Annamalai berkata, peranan dan komitmen organisasi itu sejak lebih 40 tahun lalu dalam memberi sinar masa depan lebih baik dan terjamin kepada pelajar yang ketinggalan di dalam pelajaran ternyata berhasil.

Katanya, melalui pelbagai usaha dan pendekatan yang telah dilaksanakan meliputi enam program teras EWRF memfokuskan kepada pelajar tercicir, miskin dan bermasalah. Program-program ini juga telah membantu mengubah daya fikir dan seterusnya melahirkan modal insan setara keperluan semasa dalam pelbagai bidang seperti pelajaran, kemahiran dan pasaran kerja.

Enam Program Teras seperti penglibatan masyarakat iaitu Civil Society Intervention (CSI), pemerkasaan bahasa Inggeris melalui program English for Junior (E4J), memberi perkhidmatan Kaunseling secara fizikal dan talian kepada yang memerlukannya secara percuma, latihan kerjaya melalui program Centre for Career Coaching & Guidance (C3G) dan lain-lain telah berjaya mencorak keupayaan pelajar sekolah rendah mahupun menengah.

Fokus EWRF ketika ini adalah tiga program utama iaitu CSI, E4J dan Kaunseling. Melalui CSI, pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang lemah dalam akademik dan bermasalah disiplin akan dikumpul seminggu sekali untuk memberi motivasi dan merangsang minat mereka menjadi lebih produktif serta berguna.

Berdasarkan statistik tahun lalu, program CSI telah dilaksanakan di 6 pusat melibatkan seramai 727 pelajar keseluruhan dari 20 sekolah menengah meliputi 10 daerah.

Pendekatan sukan diguna bagi menarik minat dan perhatian mereka untuk bersama selama tiga jam dalam seminggu, lalu mencerna aktiviti untuk mengubah minda mereka, mendidik serta mendekati supaya mereka tahu dan mengenali potensi diri masing-masing.

Kesannya, dalam 20 minggu sesi CSI diadakan di sekolah masing-masing, para pelajar dapat dilihat apabila mereka mula menunjukkan peningkatan dalam pelajaran, kurang bermasalah disiplin dan berminda positif, katanya dalam sesi temubual media di Ibu Pejabat EWRF di Kuala Lumpur.

EWRF adalah hasil inisiatif dikalangan pensyarah Universiti Malaya (UM) yang menyedari perlunya medium mengumpulkan pelajar India di kawasan luar bandar bagi mendapatkan akses pendidikan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

E4J – Anak2 kecil mampu mengusai bahasa Inggeris dengan baik selepas ikuti kursus selama 20 minggu.

Inisiatif ini diambil bertujuan membangunkan modal insan yang berkualiti dan berketrampilan sebagai pelapis yang dapat membela nasib bangsa dan negara.

Sehingga hari ini, keberkesanan EWRF ternyata berhasil apabila berjaya beroperasi di 19 cawangan seluruh negara. Penglibatan aktif dalam program dan aktiviti sosial masyarakat serta dedikasi untuk memacu pembangunan negara berteraskan modal insan yang berjasa.

Menurut Govindasamy Annamalai, usaha membina kapasiti modal insan cemerlang dan mengubah minda masyarakat bukan perkara mudah, sebaliknya ia perlu berterusan dan memerlukan pengorbanan dari segi masa, kewangan dan tenaga dari semua pihak.

Program E4J bermula pada tahun 2009 dengan fokus untuk mengatasi masalah literasi bahasa Inggeris pelajar sekolah Tamil. Program 20 minggu yang dijalankan di sekolah mendedahkan para pelajar kepada Bahasa Inggeris melalui konsep pembelajaran efektif dan menyeronokkan.

Pada tahun lalu sahaja, program ini telah dilaksanakan di 8 daerah melibatkan 17 pusat dan 327 murid di Sekolah Tamil Jenis Kebangsaan.

“Pada akhir sesi 20 minggu ini para pelajar mampu mengetahui sehingga 200 perkataan bahasa Inggeris baru. Komponen lain program ini ialah Jelajah Pendidikan, Hari Pertandingan (DARE Carnival) dan Hari Pencapaian yang mana kita boleh lihat keyakinan diri pelajar-pelajar ini berkomunikasi dalam bahasa Inggeris makin baik dan penguasaan lebih lancar,” katanya.

Perkhidmatan kaunseling dan program C3G turut menghasilkan impak positif kepada pelajar yang berdepan dengan masalah diri, kekeluargaan atau gejala sosial yang memerlukan khidmat bantuan nasihat dan bimbingan.

Kata Govindasamy Annamalai, EWRF juga menyediakan Perkhidmatan Kaunseling, secara langsung dan talian kepada yang memerlukan bagi membantu mereka untuk keluar daripada belenggu masalah. Selain itu, khidmat kaunseling yang diberikan adalah daripada kalangan kaunselor bertauliah dan pakar dalam bidang ini. EWRF berharap masyarakat akan menggunakan perkhidmatan percuma yang disediakan.

“Program C3G yang dilaksanakan telah mencatatkan pelbagai pencapaian positif termasuk membuka peluang kerjaya kepada anak muda India, selain membantu menempatkan pelajar kurang cemerlang di dalam akademik untuk mengikuti kursus kemahiran” ujar Govindasamy Annamalai.

“Pencapaian terbesar dicatatkan pada tahun lalu apabila seramai 1,354 pelajar telah ditempatkan di Pusat Latihan Perindustrian (ILP) dengan mengikuti pelbagai bidang kursus kemahiran dan secara langsung membuka peluang kerjaya apabila tamat kursus,” katanya.

Selain penempatan pelajar ke institusi kemahiran, program penerangan dan kesedaran mengenai kerjaya di dalam sektor industri yang dikendalikan oleh EWRF, telahpun memberi manfaat kepada 15,340 peserta setakat ini.

E4J – Modul pembelajaran interaktif.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas