Berita

Sasar 300,000 pengunjung PIIACUF 2019

PERSIAPAN sedang dilakukan bagi memastikan kelancaran penganjuran PIIACUF 2019. - Ihsan PPj
PERSIAPAN sedang dilakukan bagi memastikan kelancaran penganjuran PIIACUF 2019. - Ihsan PPj
- Diterbit 26 Julai 2019 12:29 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan 300,000 pengunjung hadir ke Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2019 yang akan diadakan bermula 25 hingga 28 Julai ini.

Sasaran tersebut sejajar dengan tempoh penganjuran serta pengisian edisi ke-5 tahun ini iaitu pendedahan tentang koleksi instrumen dan kesenian vokal Islam seperti tarannum dan azan di samping penampilan khas bekas qari Diraja Saudi, Sheikh Abdul Kareem Omar Al-Fatani Al-Makki.

Pengarah Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, pada tahun-tahun lalu, tempoh penganjuran adalah 10 hari sekali gus menyebabkan jumlah pengunjung adalah lebih tinggi.

“Bagi tahun ini, tempoh pe­nganjuran dipendekkan kepada empat hari. Sebab itu kita meletakkan sasaran 300,000 pengunjung sahaja dan ia le­bih munasabah.

“Sasaran pengunjung pula adalah warga tempatan dan 10 peratus untuk pengunjung antarabangsa. Kita juga bekerja­sama dengan pengendali pelancongan di Putrajaya supaya pelancong asing dapat hadir menyaksikan festival tahunan ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Tengku Aina memberitahu, PIIACUF juga termasuk dalam pakej yang disediakan pengendali pelancongan. Mengulas tentang fasiliti dan infrastruktur pula, beliau me­nyatakan, pihaknya menyediakan perkhidmatan shuttle bas percuma bagi perjalanan dari Putrajaya Sentral ke tapak festival dan kekerapan perjalanan akan ditingkatkan pada malam konsert serta hari minggu.

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan MyCar. Mereka akan sediakan perkhidmatan kereta yang boleh memuatkan sehingga empat orang untuk sekali perjalanan dengan diskaun RM3 bagi setiap perjalanan selepas memasukkan promo MYPIIACUF19.

“Untuk yang membawa kenderaan sendiri, 2,000 lot parkir disediakan dan kesemuanya terletak berhampiran tapak festival. Hanya 2-5 minit sahaja. Selain itu, Yayasan Restu juga menyediakan perkhidmatan shuttle bas dari Nasyrul Quran ke festival,” jelas beliau.

Tambah Tengku Aina, penginapan juga tidak menjadi halangan kepada pengunjung tempatan kerana terdapat pelbagai jenis hotel serta inap desa berhampiran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas