Berita

PPj anjur Putrajaya Treasure Hunt 2019 September ini

PETA laluan Putrajaya Treasure Hunt 2019
PETA laluan Putrajaya Treasure Hunt 2019
- Diterbit 26 Julai 2019 12:33 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) sasar 500 peserta menyertai Putrajaya Treasure Hunt (PTH) 2019 yang akan diadakan pada 14 September ini.

Pengarah Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Noor Sita Abbas berkata, pelbagai hadiah menarik dan cabutan bertuah bakal menanti peserta yang mana pemenang tempat pertama akan memenangi wang tunai berjumlah RM3,000 disusuli tempat kedua, RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.

“Wang tunai sagu­hati akan diberikan kepada pemenang tempat keempat hingga ke-10. Seba­nyak 30 cabutan bertuah pula akan diberikan dengan hadiah-hadiah yang menarik.

“Baju T Putrajaya Treasure Hunt 2019 akan diberikan kepada 400 peserta terawal yang mendaftar,” ujarnya kepada Wilayahku baru­-baru ini.

Menurut Noor Sita, program anjuran Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Perbadanan Putrajaya (KRISputra) itu merupakan salah satu acara kesukanan yang turut disertai aktiviti kebajikan berikutan barangan misteri harta karun itu akan diserahkan kepada anak yatim serta rumah orang tua.

Selain itu, katanya, tujuan program tersebut diadakan untuk mempromosi dan memperkenalkan beberapa kawasan baharu di Putrajaya termasuk beberapa lokasi komersial yang baru dibuka di samping sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2019.

Jelasnya lagi, penyertaan PTH 2019 akan dibuka pada 1 hingga 23 Ogos ini dan borang penyertaan boleh dimuat turun daripada Facebook atau Instagram Perbadanan Putrajaya dan KRISputra.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Aminudin Abd. Hamid di emel [email protected] atau tali­an: 03-88877213 dan 03-8887 7231.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas