Berita

Saringan wakil rakyat, staf Parlimen bebas Covid-19

SARINGAN ujian swap Covid-19 dilakukan ke atas staf Parlimen menjelang sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini. Gambar Parlimen Malaysia
- Diterbit 16 Mei 2020 1:41 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 750 saringan Covid-19 dijalankan membabitkan 222 Ahli Parlimen serta kakitangan Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan setakat ini mendapati semua wakil rakyat dan staf Parlimen yang disaring adalah negatif.

Katanya, saringan secara berperingkat itu berakhir semalam.

“Keputusan setakat ini, tiada yang positif. Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjalani ujian saringan Covid-19 di bangunan Parlimen.
PETUGAS perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas kakitangan Parlimen.

Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini selama sehari. Bagaimanapun, persidangan itu hanya membabitkan perasmian pembukaan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta tiada usul lain selepas itu.

Pada 27 April lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan wakil rakyat dan petugas Parlimen perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Katanya, langkah itu sebahagian norma baharu yang perlu dilakukan bertujuan mengekang penularan pandemik itu.

“Bukan hanya di Parlimen, jika anda ke restoran atau institusi mana sekalipun akan ada ujian suhu badan. Mesti amalkan jarak sosial dan jaga kebersihan.

“Tidak dibenar berjabat tangan. Itu norma baharu yang harus diamalkan, tidak hanya untuk persidangan Dewan Rakyat tetapi semua mesti berlatih mengamalkannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas