Berita

17 kes baharu Covid-19, satu kematian wanita tempatan

PETUGAS kesihatan membuat saringan kesihatan ke atas seorang wanita. Gambar hiasan
- Diterbit 16 Mei 2020 11:24 AM MYT

PUTRAJAYA -Sebanyak 17 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 6,872 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu membabitkan 12 warga tempatan dan lima warga asing.

“Enam kes juga dikesan dari kes import. Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 73 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital.

“Keseluruhan kes sembuh ialah 5,512 iaitu melebihi 80 peratus dari keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 1,247 kes adalah aktif dengan kebolehjangkitan dan semua sudah diasing dan dirawat.

Ketika ini, 13 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima darinya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat satu pertambahan kes kematian menjadikan jumlah kumulatif 113 kes iaitu 1.64 peratus dari keseluruhan.

“Mangsa wanita tempatan berusia 53 tahun yang menghidapi barah dan darah tinggi dan dia juga merupakan kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mangsa bagaimanapun tidak bekerja dan bercuti akibat barah. Dia disahkan meninggal dunia pada 7 Mei lalu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas