Personaliti

‘Sara Sajeeda’ buat Nami beralih arah

NAMI HAREZ
- Diterbit 16 Januari 2020 12:23 PM MYT

PADA awalnya, jejaka berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Nami Harez ini bergiat aktif dalam dunia lakonan dengan beberapa buah drama dan telefilem sejak tahun 2015 namun kini dia terpanggil untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian pula.

Tidak menyangka percubaannya membuahkan hasil, menurut Nami, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi namun baru sekarang impiannya itu menjadi kenyataan.

“Saya kini tidak lagi aktif berlakon dan hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap nyanyian selain turut bergelar seorang komposer dan juga penulis lirik,” ujarnya.

Kata Nami, biarpun tidak lagi bergelar pelakon, dia tetap akan mengembangkan bakat yang dimilikinya di dalam industri seni cuma berbeza aliran sahaja.

“Saya dapat rasakan ini adalah keputusan yang terbaik kerana sejak dahulu lagi saya memang lebih terarah kepada bidang penciptaan lagu. Ini kerana saya suka mengabadikan apa yang berlaku disekeliling dalam bentuk lagu. Bagi saya, ia sangat menarik,” ujarnya.

Ternyata bidang baharu itu mendapat perhatian apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya bersempena drama Sara Sajeeda yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 penghujung tahun lalu menjadi siulan ramai.

“Bagi saya, ini suatu pencapaian yang amat membanggakan. Bukan sahaja bagi diri ini tetapi rakan-rakan lain yang sama terlibat dalam penciptaan lagu ini. Ia sedikit sebanyak membantu mengukuhkan nama saya dalam industri ini. Sejujurnya bukan mudah untuk bersaing lebih-lebih lagi saya baru mula hendak bertapak,” ujarnya.

Gemar membuat eksperimen dalam karya yang dihasilkan, lagu Sara Sajeeda misalnya mempunyai elemen-elemen Bollywood yang diketengahkan di dalam penciptaannya.

“Sebelum ini saya juga pernah muncul dengan single Dewinda yang juga merupakan lagu bagi drama Lelaki Kiriman Tuhan selain lagu Ceritera Cinta untuk filem pendek Jalang Itu Ibu Aku,” ujar Nami.

Antara drama yang pernah dibintangi olehnya sebelum ini adalah Menantu Ting Tong, Amsyar, Musafir Lalu, Sehelai Songket Berbunga Penuh dan banyak lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas