WK2

Kembalinya lokasi peminat buku ibu kota

BAHAN bacaan yang disediakan sentiasa disusun dengan kemas dan mengikut seksyen BAHAN bacaan yang disediakan sentiasa disusun dengan kemas dan mengikut fiksyen.
- Diterbit 17 Januari 2020 6:54 AM MYT

LEBIH santai dan pastinya bakal menjadi tempat tumpuan golongan muda selain menyemarakkan lagi program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020

MEMBUDAYAKAN aktiviti membaca dalam kalangan warga kota menjadi objektif utama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya amalan tersebut menjadi imej kepada bandar raya ini.

Justeru apabila Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) yang bersebebelahan dengan Dataran Merdeka dibuka semula pada tahun lalu, ia sudah pasti menjadi berita gembira buat peminat-peminat buku di ibu kota untuk mengisi waktu mereka menelaah koleksi-koleksi bacaan menarik di situ.

ROSIDAH

Menurut Pustakawan Kanan PKL, Rosidah Ismail, PKL mula dibuka pada tahun 2004 dan ia menjadi tumpuan utama golongan ulat buku di ibu kota untuk mendapatkan bahan bacaan.

“Bagaimanapun, perpustakaan ini ditutup untuk tujuan ubah suai pada 2017 sehingga Jun 2019 dan dibuka semula kepada orang awam pada 4 November lalu.

“Yang menarik mengenai perpustakaan ini adalah transformasi yang dilakukan adalah menggunakan kepakaran dalaman DBKL diketuai Timbalan Pengarah Kanan (Arkitek), Norzaini Noordin,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Kata Rosida, perpustakaan itu memuatkan kira-kira 180,443 koleksi buku sehingga Disember lalu.

“Dengan penglibatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020, pihak kami akan menambah lagi bilangan buku pelbagai genre untuk pengunjung.

“Kebiasaannya, unjuran untuk lima tahun akan datang, sesebuah perpustakaan perlu menambah koleksi buku sekurang-kurang 20 peratus,” katanya.

Dengan kos pengubahsuaian dalaman melibatkan kira-kira RM34 juta, perpustakaan berkenaan tampil lebih santai dan pastinya bakal menjadi tempat tumpuan golongan muda selain menyemarakkan lagi program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Menerangkan lebih lanjut, Rosidah berkata, perpustakaan ini mempunyai dua tingkat dan pengubahsuaian yang dilakukan arkitek melibatkan struktur asal bangunan berkenaan.

“Di tingkat bawah tanah terdapat Auditorium Tan Sri Elyas Omar namun kawasan ini terpaksa ditutup disebabkan beberapa perkara teknikal.

“Di tingkat bawah juga terdapat sebuah surau untuk kegunaan pengunjung serta kakitangan PKL,” katanya.

PERPUSTAKAAN Kuala Lumpur

Ujar Rosidah lagi, antara pembaharuan yang dilakukan adalah diletakkan sekali perpustakaan kanak-kanak di dalam satu bangunan selain mewujudkan ruang interaktif yang pasti boleh menarik perhatian anak-anak ke perpustakaan.

“Sebelum ini, perpustakaan kanak-kanak berada di Bangunan Annexe PKL namun kerana terdapat kesukaran kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka, maka kami berpendapat wajar disekalikan sebagai kemudahan untuk seisi keluarga.

“Selain itu, di dalam ruangan perpustakaan kanak-kanak terdapat sebuah pentas untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan,” katanya.

BILIK Interaktif untuk kanak-kanak.

Tambah beliau, di tingkat dua, ruangan yang disediakan lebih santai dan terdapat kemudahan komputer dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi.

“Terdapat 16 buah komputer disediakan untuk kemudahan pengunjung dan kebanyakan mereka adalah pelajar institusi pengajian tinggi IPT selain orang awam.

“Turut disedia sebuah bilik yang dinamakan ‘cube room’ yang boleh digunakan untuk menonton televisyen dalam suasana yang santai,” katanya.

Bagi memudahkan pengunjung, perkhidmatan mesin fotostat juga disediakan dengan dikenakan kadar bayaran berpatutan bagi mereka menggunakan kad ahli.

Perpustakaan ini turut memasukkan elemen seni apabila ia turut menyediakan ruang untuk penggiat seni muzik.

Tambah Rosida, antara pembaharuan di dalam perpustakaan ini adalah diwujudkan sudut pengumpulan karya-karya Sasterawan Negara untuk rujukan pengunjung.

“Namun banyak ruangan masih kosong kerana pihak pengurusan masih giat untuk mendapatkan karyakarya sasterawan-sasterawan berkenaan untuk tatapan pengunjung,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas