Berita

Projek rumah pam punca tanah mendap di Datuk Keramat

KEADAAN rumah yang retak akibat mendapan tanah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
- Diterbit 13 Mac 2020 6:49 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 39 orang penduduk terpaksa mengosongkan bangunan dua tingkat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ekoran kerja-kerja menaik taraf saliran oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan struktur kediaman itu condong dan retak akibat mendapan tanah baru-baru ini.

Projek rumah pam yang berfungsi untuk menaik taraf sistem saliran dilaksanakan oleh DBKL berikutan aduan banjir kilat ketika musim hujan yang dialami penduduk sejak lebih 20 tahun lalu dimulakan pada 19 Disember tahun lalu dengan kos projek kira-kira RM1.4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, struktur tanah di kawasan itu lemah akibat pengumpulan air di tapak projek.

“Kerja-kerja akan dilakukan untuk menstabilkan struktur tanah di sekelilingnya sebelum projek itu diteruskan.

“Kami menganggarkan ini mengambil masa dua hingga empat minggu untuk disiapkan,” katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan itu di sini baru-baru ini.

Nor Hisham berkata, buat masa ini, sejumlah mangsa ditempatkan di Dewan Aktiviti Kemasyarakatan Masjid Al-Akram di sini manakala selebihnya menumpang di rumah keluarga sehingga kerja-kerja penstabilan tanah selesai dilaksanakan.

“DBKL telah meminta kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan agensi berkaitan untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas