Selebriti

Sangeeta, Bront teraju utama siri aksi jenayah ‘I Am Vash’

- Diterbit 28 Oktober 2021 6:30 AM MYT

DRAMA bersiri aksi jenayah I Am Vash bakal menemui penonton menjelang 2023 dengan membariskan kisah menarik serta wajah pelakon handal tempatan.

Untuk itu, 108 Media bekerjasama dengan Revolution Media akan menerbitkan drama bersiri tersebut.

Ia bakal membariskan beberapa bintang tersohor yang akan memulakan penggambaran pada Mei 2022.

I Am Vash mengisahkan bandar Pelabuhan Klang di Malaysia yang dipenuhi jenayah sekitar tahun 1970-an, ia dinaungi watak Vash seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya.

Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.

Sebagai projek yang diterajui pengarah Adrian Teh, dia menampilkan gaya pengarahan khasnya dengan pembabitan dua bintang tersohor negara iaitu Sangeeta Krishnasamy yang memainkan watak utama Vash di samping seorang bintang yang tidak asing lagi iaitu Bront Palarae, yang memegang watak Rahman, rakan sejawatnya.

Projek ini akan diketuai dan diterbitkan oleh para penerbit eksekutif seperti Justin Deimen, Abhi Rastogi, serta Micah Tadena (108 Media) bersama Zainir Aminullah di samping Anne Low (Revolution Media).

Turut serta adalah pasukan penerbitan dan kreatif yang menjangkaui rantau Asia Tenggara dan Los Angeles, terdiri daripada David Chang, Choong Chi-Ren, Tony Pietra Arjuna, Justin Wong, Shern Chong dan Leon Tan.

Selepas berjaya mencetus fenomena baharu dalam industri serantau lewat filem-filem komersial luar biasa seperti The Wedding Diary, Paskal dan Wira,  sutradaranya Adrian Teh bersemangat dengan latar belakang unik projek ini.

“Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro berserta aksi? Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah. Sudah tentu saya mahu turut serta!” ujarnya.

Pelakon utama Sangeeta Krishnasamy yang bakal memegang watak utama iaitu Vash juga teruja dengan projek ini.

“Saya sangat teruja kerana dapat terbabit dalam sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran-cabaran terbesar.

“Ia juga merupakan kisah terkenal dalam sejarah negara, dan saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita. Ini meraikan tempat wanita dalam pasukan berseragam,” jelasnya yang menjanjikan lakonan terbaik.

Bront Palarae juga menjelaskan dirinya tidak sabar untuk menghidupkan watak dalam drama bersiri tersebut.

“Saya sangat teruja untuk beraksi dalam I Am Vash, sambil menghidupkan kisah-kisah sahih serta watak-watak Asia Tenggara buat tontonan dunia.

“Apatah lagi diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media, saya yakin kami akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa,” ujarnya.

Justin Deimen, presiden penerbitan 108 Media pula mengupas maksud mendalam kisah Vash.

“Watak seperti Vash ini sangat penting bagi kaum minoriti dan komuniti serantau untuk diketengahkan, malah ia dimainkan seorang bintang berbakat besar seperti Sangeeta yang akan menaikkan lagi semangat pasukan kami.

“Menyatukan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu yang dapat melahirkan kandungan serantau yang mampu meliputi pasaran antarabangsa.

“Saya yakin penonton akan memberikan respon yang luar biasa terhadap citarasa dan misteri dalam siri ini, selain unsur era serta latar belakangnya yang tidak dilupakan,” ujarnya.

Zainir Aminullah yang pernah menjadi penerbit eksekutif projek-projek global seumpama Drink Gently dan The Ghost Bride turut sama memberikan pendapatnya berkenaan cita-cita kreatif projek ini.

“Malaysia sekitar 1970-an merupakan era dengan pelbagai detik penuh sensasi. I Am Vash adalah sebuah kisah yang menakjubkan disulami adegan-adegan benar yang pernah terjadi, dan kami begitu teruja untuk membawanya ke layar tontonan,” ujar Zainir.

Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas-sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di samping Bahasa Tamil dan juga dialek-dialek Bahasa Cina.

Pengedaran I AM VASH akan dilakukan oleh 108 Media di peringkat antarabangsa bersama Revolution Media untuk rantau ini dan Malaysia.

Berpangkalan di London dan Singapura dengan pejabat jualan serta penerbitan utama di Toronto, Los Angeles, Tokyo, Kuala Lumpur, serta Manila, 108 Media akan menanggung kos kewangan serta menerbitkan projek ini melalui bahagian penjanaan kewangannya ke arah pasaran antarabangsa berlandaskan fokus utama untuk memperkasakan para pencipta baharu dengan harta intelek yang merentas budaya.

Revolution Media yang akan membangun serta menerbit bersama siri ini adalah sebuah syarikat pembangunan dan penerbitan yang berpusat di Malaysia dengan rangkaian projek bersiri dan filem di Amerika Utara, Australia, Indonesia serta Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas