Titisan air mata penerima rumah

Titisan air mata penerima rumah

TANGISAN kesyukuran seorang wanita kelainan upaya (OKU), Rohaya Mat, 58, mengalir apabila menerima replika kunci dan surat perjanjian yang diserahkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ini kerana, impiannya untuk memiliki kediaman sendiri tercapai menerusi Inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Malah, dia sama sekali tidak menyangka bahawa rumah yang selama ini diidamkan akhirnya menjadi milik.

“Pada mulanya saya tidak percaya akan diberikan rumah dan menganggap itu hanyalah sekadar mimpi. Hinggalah apabila pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan mengenai perkara tersebut, barulah saya percaya.

“Dalam keadaan seperti ini, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat kerana menghadiahkan rumah ini untuk saya dan keluarga,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penyerahan Baiti Jannati Keluarga Malaysia pada Rabu.

Beliau yang pernah bekerja sebagai penjual kuih dari rumah ke rumah sebelum ini mempunyai lima orang anak, namun kerana kesempitan hidup, tiga anaknya
diserahkan kepada orang lain untuk dijaga.

“Saya memang dari dahulu hidup dalam kesusahan sehingga terpaksa menyerahkan tiga anak kesayangan kepada orang lain kerana khuatir mereka akan menjalani hidup yang susah seperti saya,” ujarnya sayu.

“Apa yang penting, hari ini saya sangat gembira dan semua ahli keluarga juga turut gembira kerana hadiah yang amat bermakna ini,” katanya.

Dalam sidang medianya, Shahidan berkata, TNB memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta wang zakat untuk dimanfaatkan kepada 30 keluarga Islam yang berstatus miskin tegar dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyumbangkan sebanyak RM400,000 kepada lapan penyewa miskin tegar bukan Islam di PPR/PA DBKL untuk memiliki kediaman.

“Inisiatif ini diberikan kepada penyewa miskin tegar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan kondusif tanpa perlu membayar sewa bulanan kepada DBKL.

“Unit rumah yang terlibat akan dibaik pulih dan dilengkapi dengan barangan elektrik asas mengikut keperluan semasa keluarga miskin tegar tersebut,” katanya.

Menurut Shahidan, sejak tahun 2016, sebanyak 337 unit rumah telah diserahkan kepada warga miskin tegar di PPR/ PA DBKL yang layak.

“Penyerahan bantuan ini bertujuan untuk membolehkan warga kota yang tidak berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

“Inisiatif ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa kepada golongan B40 di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Tambahnya, program ini merupakan satu alternatif dalam usaha mengurangkan masalah kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hassan Arifin; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Hajah Rosidah Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )