Berita

SAMBUT HARI MALAYSIA DENGAN DRAMA TERBAIK RTM

|||
- Diterbit 17 September 2021 7:22 AM MYT

HAI pembaca Wilayahku, kali ini kami kongsikan drama terbaik dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang terus menyebarkan aura semangat dan kemeriahan sambutan Hari Malaysia dengan mengangkat tayangan drama-drama terbaik mengisi slot Panggung RTM.

Empat drama khas yang disiarkan menerusi saluran TV1 ini sarat dengan suntikan elemen perjuangan, jati diri, perpaduan dan kekeluargaan ini pastinya pada masa sama menambah rasa kecintaan semua terhadap tanah tumpah negara kita.

Bagi yang terlepas untuk menonton drama terbaik ini, anda boleh saksikannya siaran bila-bila masa dan dimana sahaja menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Jangan lupa untuk memuat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

#1 Perauk Tambang

Pengarah: Datuk Jurey Latif Rosli
Pelakon: Azam Pit, Mubarak Majid, Elisha Sandha

SEMALAM RTM meraikan Hari Malaysia dengan tayangan panggung khas iaitu “Perauk Tambang” yang ditayangkan pada pukul 11.00 pagi. Menonjolkan konflik berlaku apabila Pak Tambang tetap mahu meneruskan pekerjaan membawa perahu tetapi anaknya Zamin tidak bersetuju. Ini kerana bagi Pak Tambang, perahunya banyak menyimpan kenangan sebaliknya Zamin mahu ayahnya berehat di rumah dengan faktor usianya yang sudah tua. Bagi yang terlepas menontonnya, anda boleh menonton menerusi portal online RTM Klik dan RTM mobile.

#2 Bukan Lelaki Biasa

Pengarah: Shuhaimi Lua
Pelakon: Radhi Khalid, Nad Zainal, Idris Khan

IKUTI kisah “Bukan Lelaki Biasa” membawa kisah Mujahid Delwar, seorang lelaki berasal dari Dhaka yang berhijrah ke Malaysia akibat krisis pengangguran di Bangladesh. Walaupun mempunyai ijazah, di Malaysia Mujahid bekerja sebagai pembantu kedai mamak, pencuci bangunan serta pengawal keselamatan. Namun, akibat sikap lurus dan berterus-terangnya, Mujahid sering dibuang kerja kerana caranya tidak disukai oleh ketuanya. Bagaimanakah kehidupan Mujahid? Mampukah Mujahid memperbaiki kehidupannya? Ditayangkan pada 31 Ogos 2019 sempena Hari Kebangsaan, drama ini juga mengisahkan anak-anak Malaysia kacukan Bangladesh yang tebal jiwa patriotiknya walaupun sering dihina perbezaan bangsa, budaya dan asal-usulnya tidak menghalang mereka menjadi anak Malaysia sejati.

#3 Raja Sungei

Pengarah: Azwandy Suhaimi
Pelakon: Anding Indrawani, Melati Mellisa, Zielan Madinil

RAJA Sungei pula berkongsi plot cerita watak utama iaitu Adam kembali ke kampung untuk urusan tanah pusaka peninggalan ayahnya. Kampung Adam merupakan jaguh dalam pertandingan lumba perahu suatu ketika dahulu kerana sering merangkul takhta Raja Sungai pada setiap temasya. Namun, segalanya berubah ketika kemalangan yang mengakibatkan ramai pendayung terkorban pada temasya 30 tahun lalu. Ayah Adam telah dipersalahkan dalam bencana ini. Kejadian itu juga menyebabkan penduduk kampung berpecah belah. Adam berniat untuk mengembalikan zaman kegemilangan kampungnya dalam lumba perahu namun ditentang oleh Latep kerana ayahnya juga merupakan mangsa koraban dalam kejadian tersebut. Berjayakah Adam menyatukan semula semangat penduduk kampung? Pasukan manakah yang bakal merangkul gelaran Raja Sungai?

#4 Baju Jersi Amar

Pengarah: Jet Lee (M Nazir Juhan)
Pelakon: Raja Atiqullah, Fimie Don, Didie Astillah.

MENARIK dibawakan dalam drama “Baju Jersi Amar” pula kisah Amar yang berpindah dari dunia serba miskin ke dunia baru dan menemui cinta sejatinya dalam sukan bola sepak, namun halangan dihadapinya apabila kehadirannya dibenci oleh masyarakat keliling. Amar mempunyai impian besar. Namun sejak kematian ibu dan bapa, dia dibesarkan oleh datuknya, Pokwe. Semakin hari, pelajaran Amar semakin merosot. Pokwe bersungguh-sungguh meminta Amar ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Dr. Aizat. Siapakah Dr. Aizat? Saksikan telefilem ini menerusi RTM Klik untuk mengetahui kesudahannya.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas