Berita

Taman Tasik Permaisuri pilihan utama warga kota

BINAAN melengkung bagi landskap Laman Iskandar Puteri memperlihatkan kawasan sekitarnya lebih luas dan unik. BINAAN
- Diterbit 17 September 2021 6:30 AM MYT

KEUNIKAN landskap dan kepelbagaian fasiliti yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuatkan taman-taman awam kendaliannya sentiasa menjadi pilihan utama warga kota melepaskan penat bekerja mahupun beriadah bersama keluarga.

Malah, keindahan hiasan bunga warna-warni yang ditanam di kawasan sekitar juga mampu melegakan sedikit tekanan yang dialami.

Berkata mengenai transformasi salah satu tamannya, iaitu Taman Tasik Permaisuri, DBKL memaklumkan, antara keunikan yang diketengahkan sebagai tarikan pengunjung di situ adalah landskapnya yang bercirikan Taman Diraja Melayu tradisi dan Laman Iskandar Puteri.

Selain itu, katanya, kolam sireh junjung dan laman bunga-bungaan awan larat turut menarik perhatian kerana mempamerkan ruangan luas serta cantik.

“DBKL telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf taman permainan kanak-kanak, danau ekologi, serambi dayang dan halaman kereta.

“Sistem pencahayaan dan pemasangan kamera litar tertutup juga ditambah baik bagi tujuan keselamatan dan keselesaan pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Tambah DBKL, selain itu, lokasi taman juga strategik kerana terletak berhampiran stadium, hospital, pusat belia, masjid, perumahan awam dan swasta, kompleks agensi kerajaan serta sekolah.

Transformasi tersebut turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas