Selebriti

Siti Nordiana tuntut RM1 juta dan permohonan maaf

- Diterbit 31 Julai 2021 2:14 AM MYT

PENYANYI popular Siti Nordiana,36, meneruskan saman fitnah terhadap lima individu yang didakwa telah memfitnahnya.

Selain permohonan maaf secara terbuka, Siti Nordiana atau Nana menuntut setiap daripada mereka membayar RM200,000 sebagai syarat menyelesaikan kes berkenaan.

Lima individu yang dituntut Siti Nordiana itu ialah penyanyi Lan Solo dan isterinya, Shiela Razlan, penyanyi Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam FMC Sam Samin, serta jurusolek, Aida G.

Mereka mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada Siti Nordiana.
“Kami berlima – Lan, Shiela, Syura, Aida G dan Sam telah menerima surat tuntutan dari pihak Siti Nordiana yang mana di dalamnya meminta agar kami membuat kenyataan terbuka memohon maaf dalam tempoh 24 jam beserta syarat lain selain bayaran sebanyak RM 200,000 setiap seorang yang kesemuanya berjumlah RM 1 juta.

“Kami telah pun memaklumkan serta menyerahkan surat tuntuntan tersebut kepada peguam kami Alan Razak untuk penelitian lanjut. Hanya setakat ini sahaja kenyataan yang dapat kami berikan. Terima kasih,” kata mereka dalam sebuah kenyataan kepada media.

Notis tuntutan bertarikh 26 Julai itu juga, kata Sam, menyatakan perasaan dukacita Siti Nordiana terhadap mereka kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam sebuah sesi siaran langsung di Instagram.

Nana bernekad meneruskan tindakan saman selepas kelima-lima individu terbabit tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam diberikan.

Menurut Nana, tindakan saman tersebut akan difailkan selewat lewatnya pada 2 Ogos ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas