Selebriti

Rumah Prihatin ringankan beban rakyat – Dafi

DAFI berharap agar warga Wilayah Persekutuan tidak mensia-siakan usaha murni kerajaan dan memanfaatkan Rumah Prihatin sebaiknya.
- Diterbit 31 Julai 2021 2:00 AM MYT

PENUBUHAN RumahPrihatin@GrandSeasons yang merupakan cetusan idea Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, adalah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan pandemik COVID-19.

Penyanyi dan pelakon, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi, 32, berharap masyarakat khususnya warga Wilayah Persekutuan tidak mensia-siakan usaha murni kerajaan itu.

“Mungkin ada yang belum tahu, kita sekarang sedang melalui saat – saat sukar yang mana semua orang terkesan.

“Di sini saya berasa bangga untuk berkongsi yang RumahPrihatin@GrandSeasons telah pun dibuka untuk rakyat khususnya warga Wilayah Persekutuan.

“Tujuan penubuhan Rumah Prihatin ini adalah untuk memberi bantuan dan meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Rumah Prihatin ini menyediakan pelbagai khidmat seperti Dapur Prihatin, Pusat Gerakan Jejak Prihatin, Bilik Penginapan Prihatin, Food Bank Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin dan Klinik Kesihatan Mental Prihatin,” jelas Dafi yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dafi yang pernah popular menerusi lagu Bila Terasa Rindu ini berharap semua warga wilayah memanfaatkan Rumah Prihatin dengan sebaiknya.

“Saya tertarik dengan khidmat Klinik Kesihatan Mental Prihatin yang diberikan secara percuma untuk membantu mereka yang mengalami tekanan, depresi atau gangguan mental.

“Kadang-kadang ada sesetengah individu tidak tahu ke mana arah tuju apabila mengalami gangguan emosi. Belum lagi perasaan malu menguasai diri.

“Jadi, saya berharap mereka yang mempunyai masalah ini jangan segan atau malu kerana apa yang lebih penting adalah kesihatan mental anda. Jangan risau, kaunselor bertauliah akan menyimpan segala rahsia tentang anda,” ujarnya lagi.

RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur yang dilaksanakan baru-baru ini ditubuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur menjadikan premis ini berkonsepkan hotel kebajikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas