Artikel

Salam Merdeka, Ma’al Hijrah 1441H

KIBAR BENDERA
TANAM semangat patriotik menerusi pengibaran Jalur Gemilang. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:01 PM MYT

RAKYAT Malaysia meraikan perayaan berganda pada minggu ini. Pada 31 Ogos, seluruh rakyat menyambut kemerdekaan ke-62 dan keesokannya pula 1 September adalah sambutan 1 Muharam 1441H. Kedua-dua tarikh tersebut cukup penting kerana ia saling berkait rapat.

Berbeza dengan sambutan Tahun Baharu yang kebiasaannya diraikan dengan penuh gilang-gemilang, 1 Muharam kadang-kadang hambar dan sering dikesampingkan. Sedangkan 1 Muharam adalah detik permulaan bulan dalam kiraan kalendar Islam selepas peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah.

Meskipun peristiwa Hijrah yang agung itu tidak berlaku dalam bulan Muharam sebaliknya bermula dari bulan Safar hingga Rabiulawal, hijrah menjadi satu titik permulaan dalam membuat perubahan besar.

Penghijrahan Nabi Muhammad menterjemahkan bagaimana seseorang manusia itu perlu melawan penindasan dan memerdekakan diri mereka meskipun terpaksa melakukan pengorbanan yang besar. Pengorbanan golongan Muhajirin yang meninggalkan segala harta-benda di Mekah disambut dengan kemesraan golongan Ansar di Madinah.

Dari peristiwa tersebut, lahirlah sebuah perjanjian kontrak sosial dinamakan sebagai Piagam Madinah. Daripadanya, lahir sebuah negara. Piagam tersebut mengiktiraf kedudukan seluruh kabilah atau etnik yang mendiami Madinah. Mereka tidak dibeza-bezakan sebaliknya dianggap sebagai satu ummah.

Pemikiran strategik yang dibawa oleh Nabi Muhammad tersebut menjadikan Madinah sebagai batu asas hingga membolehkan Islam berkembang dan membina tamadun yang agung di sepanjang sejarah.

Peristiwa hijrah perlu dijadikan iktibar bagi Malaysia yang dihuni pelbagai kelompok masyarakat. Madinah berjaya berkembang kerana ikatan perpaduan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka bersama-sama mempertahankan kota itu daripada diserang golongan musyrikin.

Begitu juga di negara ini, seluruh rakyat perlu berpegang kepada kontrak sosial yang telah dimeterai untuk memastikan keamanan tersebut terjamin dan bersama-sama mempertahankan kemerdekaan tanah air. Selamat Hari Kemerdekaan ke-62 dan salam Ma’al Hijrah 1441.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas