Agama

Rozali lahir rasa syukur

AHMAD SHUKRI (tengah) menyampaikan sumbangan Skim Kafalah
- Diterbit 30 Ogos 2019 2:17 PM MYT

PUTRAJAYA – Seorang anggota Polis Bantuan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi penerima manfaat pertama Skim Kafalah Muzakki yang diperkenalkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini.

Rozali Mohamed Yunus, 38, berkata, dia sebelum ini memang mengetahui
Allahyarham isterinya, Sharini Shari Pinansa yang bertugas sebagai Ketua Pembantu Tadbir di Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Jakim merupakan pembayar zakat sejak tahun 2009.

Namun katanya, dia tidak menyangka isterinya itu layak menyertai Skim Kafalah Muzakki yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Ketika itu, Skim Potongan Zakat Berjadual (PZB) belum diwujudkan lagi dan isteri saya telah membayar zakat secara bulanan melalui online dengan inisiatif sendiri.

“Ketika penyerahan dilakukan oleh Ustaz Ahmad Shukri Yusoff (Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP) setelah pengkebumian Allahyarham isteri,
saya terkejut kerana tidak menyangka bahawa isteri secara automatik layak menerima skim ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Rozali berkata, dia rasa bersyukur menjadi waris pertama yang menerima Skim Kafalah Muzakki PPZ-MAIWP meskipun bantuan tersebut pastinya tidak dapat menggantikan insan yang dicintainya.

Katanya, sumbangan sebanyak RM3,000 yang diterima itu amat bernilai untuk dia sekeluarga.

“Dengan sumbangan tersebut, saya dapat selesaikan yuran dan kelengkapan persekolahan anak di sekolah tahfiz di Perak termasuk dua lagi anak yang masih belajar,” katanya.

Kata Rozali, Skim Kafalah Muzakki yang diperkenalkan pihak PPZ-MAIWP merupakan skim yang baik kerana menjaga kebajikan pembayar zakat dan waris mereka.

“Skim ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kepada waris yang ditinggalkan,” katanya.

Rozali turut menyeru umat Islam khususnya warga Wilayah Persekutuan dapat membayar zakat di PPZ-MAIWP.

Sharini meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Allahyarham meninggalkan suami dan tiga anak lelaki berumur 14, 11 dan 8 tahun.

Jenazahnya selamat dikebumikan pada 5 Mac lalu di Tanah Perkuburan Islam Labu Lanjut, Salak Tinggi, Sepang.

Skim Kafalah Muzakki PPZ-MAIWP yang dilancarkan pada 28 Februari lalu diwujudkan bagi meringankan beban waris selepas pembayar zakat di PPZ MAIWP meninggal dunia.

Pembayar individu yang mempunyai rekod bayaran zakat harta sekurang-kurangnya RM50 pada tahun kematian atau sebelum tahun kematian layak menerima skim ini bermula tahun ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas