Artikel

Nilai sivik bentuk sikap jaga kebersihan

AKTIVITI gotong-royong mampu membentuk nilai murni sekali gus memastikan kebersihan diutamakan. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Ogos 2019 4:57 PM MYT

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaannya apabila kebersihan tandas di negara ini sudah mencapai tahap jijik dan busuk. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan pada 13 Ogos lalu.

Beliau selanjutnya berasa malu terhadap golongan yang kurang mengambil berat tentang nilai sivik di negara ini sehingga wujud gejala vandalisme.

Kini sudah sampai masanya bagi Kerajaan Persekutuan untuk menggubal satu akta khusus bagi menangani masalah kebersihan. Akta yang digubal ini boleh memastikan bahawa isu kebersihan ini dapat ditangani secara menyeluruh dan bukan bersifat spesifik kepada perkara tertentu sahaja.

Sekarang isu kebersihan hanya ditangani secara berpecah-pecah dan tidak bersepadu menurut bidang kuasa masing-masing. Contohnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menggubal undang-undang kecil berkaitan kebersihan seperti Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap (Wilayah Persekutuan) 1981 dan Undang-Undang Kecil Larangan Meludah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2017.

Ada juga undang-undang kecil lain yang memasukkan peruntukan seksyen berkaitan kebersihan seperti Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002, Undang-Undang Kecil Tandas Awam (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1986 Caj Bagi Penggunaan Tandas Awam dan Undang -Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981.

Pihak Kementerian Kesihatan juga mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan hal berkaitan kebersihan ini di restoran dan tempat makan melalui Akta Makanan 1983. Melalui akta ini, penguatkuasa kesihatan boleh mengambil tindakan untuk mengambil sampel makanan dan merampas makanan tercemar serta mengeluarkan notis untuk menghentikan operasi restoran sehingga premis itu dibersihkan.

Justeru, tiada penguatkuasaan bersepadu bagi menangani masalah kebersihan tandas, taman, masjid, surau dan tempat-tempat awam yang lain.

Sepatutnya pihak berkuasa yang berautoriti seperti SIRIM sudah berupaya mengeluarkan satu piawaian khusus berkaitan kebersihan untuk memastikan semua pihak mengambil perhatian terhadap isu berkenaan.

Belajar

Mungkin Malaysia boleh belajar bagaimana Singapura melaksanakan program kebersihannya. Singapura sebagaimana Malaysia mempunyai rakyat yang mempunyai budaya dan tabiat yang hampir serupa. Dahulunya Singapura juga adalah sebuah negara yang kotor tetapi bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah menekankan aspek kebersihan ini terhadap semua menterinya sehinggakan beliau sendiri akan menghantar memo kepada menteri berkenaan jika didapati sesuatu yang tidak bersih berkaitan kementerian tersebut.

Tim McDonald, seorang wartawan BBC telah menulis pada tahun 2018 dan menyatakan bahawa Lee Kuan Yew telah memulakan kempen ‘Keep Singapore Clean’ semenjak 50 tahun yang lalu dan kini Singapura telah menjadi sebuah negara yang terbersih dan terhijau.

Ini tidak bermakna Malaysia harus meniru langkah Singapura sepenuhnya. Malaysia boleh membuat kajian untuk meniru negara-negara yang berjaya mendidik warganegara mereka seperti rakyat Jepun yang mampu membudayakan aspek kebersihan dalam kehidupan mereka.

Apatah lagi, rakyat Malaysia sangat rajin beragama dan semua jenis agama menyarankan penganut mereka untuk membersihkan diri.

Inilah yang sepatutnya kita terapkan dalam kehidupan rakyat Malaysia melalui pelajaran sivik yang diperkenalkan itu iaitu untuk membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan.

Dr. Zulqarnain Lukman merupakan peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas