Berita

Rumah Terbuka Jakim, Macma pupuk perpaduan, persefahaman

WAN Azizah (dua dari kanan) menggaul Yee Sang bersama dengan Mujahid (tiga dari kanan) dan Naib Presiden Macma, Datin Norhana Ng pada Majisl Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 9 Februari 2020 1:48 PM MYT

KUALA LUMPUR- Ketika Kerajaan Persekutuan diserang dengan kenyataan berbaur ancaman yang melibatkan isu perkauman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil dengan pendekatan baharu menerusi penganjuran Sambutan Tahun Baru Cina.

Penganjuran tersebut bukan hanya memupuk perpaduan malah dilihat dapat menjernihkan suasana keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Program dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu juga bertujuan mempromosikan keindahan masyarakat berbilang kaum dan agama sekali gus memadamkan persepsi bahawa seseorang itu akan menjadi Melayu jika mereka memeluk agama Islam.

“Selain itu, ia juga untuk merai dan menyantuni masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina di samping menangkis tanggapan bahawa memeluk agama Islam adalah menjadi Melayu.

“Program seperti ini turut menunjukkan mana-mana adat sesuatu bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat boleh diterima dalam Islam.

“Sambutan dibuat dalam bentuk santai dan harmoni yang melibatkan Islam dan bukan Islam. Ini menggambarkan Islam tidak membenci atau memusuhi bukan Islam sekali gus menyangkal salah faham dan dakwaan bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan,” kata Jakim dalam satu kenyataan.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof serta Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya.

Terdahulu, kira-kira 300 orang berbilang kaum dan agama hadir memeriahkan majlis berkonsepkan Rahmatan lil Alamin yang kini menjadi teras pentadbiran kerajaan persekutuan.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan seperti kumpulan orkestra Cina, tarian singa, pameran fesyen kanak-kanak dan tarian topeng Sichuan.

Selain itu, terdapat pelbagai makanan cina muslim yang disediakan termasuk masakan tradisi masyarakat Tionghua iaitu Yee Sang yang diletakkan di sebuah meja sepanjang dua meter yang kemudiannya digaul bersama oleh para pemimpin negara dan masyarakat.

Dalam pada itu, Wan Azizah dalam ucapannya menyifatkan usaha Jakim itu adalah amat efektif ke arah meningkatkan perfahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

“Semangat perpaduan harus dilipatgandakan di semua peringkat, sama ada kebangsaan, negeri, daerah, komuniti mahu pun keluarga.

“Dalam masa sama, umat Islam di Malaysia juga seharusnya menyampaikan kepada semua bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk sekalian alam dan bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil Alamin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas