Berita

5,000 meriahkan larian Wilayahku 2020

MUSTAFA (tengah) bergambar kenangan bersama peserta Larian Wilayahku 2020.
- Diterbit 9 Februari 2020 9:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 peserta memenuhi Dataran Merdeka seawal pukul 6 pagi tadi bagi menyertai Larian Wilayahku 2020 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) di sini.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mustafa Mohd. Noor berkata, larian ini merupakan salah satu daripada acara yang dianjurkan bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Kelab Sukan dan Rekreasi Wilayah Perdana.

“Acara ini adalah untuk mengajak warga Kuala Lumpur beriadah di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Selain itu, penganjuran ini juga bersempena dengan KL Car Free Morning,” katanya kepada Wilayahku.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan Strategik, Kementerian Wilayah Persekutuan, Lokman Jamaan serta Pengarah Jabatan Sukan dan Rekreasi DBKL, Nazam Harun.

Menurut Mustafa, penganjuran ini tidak melibatkan sebarang hadiah kepada para peserta tetapi penganjur memberikan medal sebagai cenderahati kepada para peserta.

“Kami lihat peserta tidak kisah mengenai hadiah atau ganjaran, sebaliknya mereka menyertai larian ini untuk memeriahkan Kuala Lumpur dan sebagai bukti bahawa bandar raya ini menjadi lokasi menarik untuk sebarang penganjuran acara yang berbentuk sukan dan riadah,” katanya.

Dalam pada itu Mustafa menyeru warga Kuala Lumpur untuk menyertai Larian Wilayahku pada minggu hadapan yang turut dianjurkan bersama DBKL dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas