Berita

Rumah Prihatin sedia penginapan sementara buat mangsa kemalangan

KENDERAAN yang dipandu oleh mangsa kemalangan yang mengalami kegagalan brek yang menyebabkan mereka melanggar sebuah pohon dan kemudiannya meluncur masuk ke dalam tempat saliran air.
- Diterbit 1 November 2021 2:27 PM MYT

RUMAH Prihatin tampil menyediakan penginapan buat enam ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands untuk memudahkan proses rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bilik penginapan sementara diberikan kepada pasangan suami isteri bersama empat orang anaknya memandangkan mereka masih memerlukan rawatan di hospital tersebut.

Pengurus Bilik Penginapan Prihatin, Datuk Aiman Aizuddin Junaidi berkata, pihaknya telah menyediakan dua bilik buat keluarga tersebut dan kos penginapan ditanggung olehnya.

“Segala kos penginapan dibayar oleh saya sendiri kerana keluarga itu adalah keluarga saya.

“Sang isteri merupakan sepupu kepada saya. Jadi, sudah menjadi kewajipan untuk membantu dan saya telah mengambil keputusan untuk mempermudahkan urusan mereka melalui inisiatif yang disediakan oleh Rumah Prihatin iaitu Bilik Penginapan Prihatin,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

SALAH seorang anak mangsa kemalangan dibawa ke Rumah Prihatin pada jam 5.30 pagi selepas selesai menerima rawatan di HKL.

Menurutnya, selain daripada bantuan bilik tersebut
, Dapur Prihatin juga turut menyediakan keperluan makanan buat keluarga kecil ini.

Beliau berharap dan mendoakan agar seluruh keluarga mangsa terlibat cepat sembuh dan dilindungi serta berpesan kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya terutama pada musim cuaca yang tidak menentu ini.

 

Berkongsi detik ketika dikhabarkan berkenaan kemalangan keluarganya itu, Datuk Aiman berkata, beliau bersama Datuk Seri Dr. Junaidi bergegas ke HKL untuk melihat keadaan dan membantu mereka.

“Kira-kira pukul 10.30 malam saya dikhabarkan keluarga itu telah terlibat dalam satu kemalangan sewaktu dalam perjalanan turun dari laluan Genting Highland sebelum mengalami kegagalan brek yang menyebabkan mereka melanggar sebuah pohon dan kemudiannya meluncur masuk ke dalam tempat saliran air.

“Ketika kami tiba di HKL, semua mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

ANAK Bongsu mereka mengalami gegaran otak serta luka dalam di dahinya

“Akibat daripada kemalangan itu, suami, isteri, anak sulung dan ketiga mengalami luka ringan manakala anak keduanya patah di kaki kanan dan yang terakhir mengalami gegaran otak serta luka dalam di dahinya,” kongsinya.

Bilik Penginapan Prihatin merupakan salah satu inisiatif yang disediakan oleh RumahPrihatin@GrandSeasons untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan penginapan sementara di Kuala Lumpur. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas