Berita

Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian

ZULFARHAN Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. Gambar: Gambar fail/Astro Awani
- Diterbit 2 November 2021 8:01 AM MYT

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Azman dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan dari pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem bagi kesalahan menyebabkan kematian dan mencederakan berjalan serentak.

Mereka akan menjalani kedua-dua hukuman itu selama 18 tahun.

“Manakala bagi 12 lagi tertuduh, mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini,” kata Azman.

Azman juga membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara bagi tertuduh yang didapati bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan jaminan RM7,000 sebelum ini dikekalkan sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini didengar. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas