Berita

Penguatkuasaan lesen minuman keras baharu bermula hari ini – DBKL

DBKL memaklumkan garis panduan LMK yang baharu berkuat kuasa mulai hari ini mesti dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat.
- Diterbit 1 November 2021 12:59 PM MYT

TIADA lagi penangguhan penguatkuasaan garis panduan baharu lesen minuman keras (LMK) baharu bermula hari ini.

Terdahulu garis panduan LMK yang berkuat kuasa pada 15 November 2020 menyatakan larangan penjualan liquor di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat cina akan berkuat kuasa pada 1 Oktober lepas.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memaklumkan mengambil pendekatan memperkemas dan memperhalusi garis panduan LMK sedia ada yang sebelum ini ditangguhkan atas tujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan liquor di Kuala Lumpur.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan garis panduan yang baharu ini berkuat kuasa mulai 1 November 2021 dan ianya mesti dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam industri ini.

Dalam tempoh penangguhan tersebut, DBKL telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam menyuarakan pandangan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras sambil memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota.

“Pihak kami telah mengadakan perbincangan bersama Persatuan-persatuan Pengilang, Pembotol dan Peruncit, Majlis Perwakilan Penduduk serta Ahli Parlimen di WPKL dan kesemua pihak berkaitan telah menyuarakan pandangan serta keprihatinan masing-masing terhadap perkara ini.

“Garis panduan ini juga menetapkan had waktu minuman beralkohol boleh dijual mengikut jenis premis, dengan pemohon atau pemegang lesen hanya untuk bukan Islam.

“Pemilik premis perlu mempamerkan lesen sepanjang masa serta mempamerkan kod QR di pintu masuk premis – lesen biru di mana penggunaan alkohol dibenarkan di premis dan lesen kuning untuk pembelian untuk bawa balik rumah sahaja,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, tambah DBKL, pemilik premis perniagaan yang menjual liquor tidak boleh berhadapan dalam lingkungan jarak 100 meter dari balai polis, rumah ibadah, sekolah, hospital dan rumah kediaman.

“Pemilik premis perniagaan perlu memastikan tiada pengunjung berumur di bawah 21 tahun dan tiada pengunjung beragama Islam meminum minuman keras,” katanya ketika mengulas garis panduan LMK di Wilayah Persekutuan.

Ujar kenyataan itu lagi, pemohon yang membuat permohonan pembaharuan LMK wajib memperbaharui lesen premis dahulu serta mengemukakan lesen premis yang sah tempoh. Permohonan yang lengkap perlu dikemukakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tempoh lesen tamat.

“Mereka turut diminta untuk mengiklankan notis di akhbar tempatan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina, dan bahasa Tamil setiap hari selama tiga hari berturut-turut.

“Di samping itu, pemohon mesti menunjukkan paparan notis pemberitahuan bersaiz A0 yang menyatakan niat mereka untuk mendapatkan LMK di hadapan premis mereka selama tujuh hari berturut-turut,” jelas kenyataan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas