Berita

Rumah Prihatin santuni frontliner di lima hospital swasta Kuala Lumpur

SEBAHAGIAN frontliner hadir menerima sumbangan makanan tengahari yang disediakan
- Diterbit 28 Ogos 2021 1:00 AM MYT

SEMENJAK wabak COVID-19 melanda negara pada tahun lalu, petugas barisan hadapan (frontliner) diangkat sebagai wira yang menyumbang tenaga dan masa bagi mengekang penularannya.

Justeru, sempena bulan kemerdekaan dan bagi menghargai jasa frontliner, RumahPrihatin@GrandSeasons menghulurkan sumbangan makan tengahari secara percuma ke lima hospital swasta di sekitar Kuala Lumpur.

Difahamkan, sebanyak 500 pek makanan tengahari diagihkan untuk petugas terlibat di Hospital KPJ Tawakkal, Hospital KPJ Sentosa, Hospital Pusrawi, Columbia Asia Hospital Setapak dan Institut Jantung Negara.

Menurut kenyataan RumahPrihatin@GrandSeasons, penghasilan makanan tengahari menerusi inisiatif Dapur Prihatin itu turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan dan chef Restoran Mee Tarik.

“Uniknya juadah kali ini, Nasi Ayam Kung Pao yang disediakan adalah hasil kerjasama pasukan Dapur Prihatin yang dianggotai Chef dari Hotel Pulse Grande bersama-sama Chef Restoran Mohd Chan yang kebanyakannya terdiri dari warga Cina sendiri,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal antara sukarelawan, sumbangan tersebut dibawa menggunakan sebuah van dan lapan kereta ke lokasi yang disenaraikan.

“Pelepasan disempurnakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa di Rumah Prihatin.

“Sumbangan ini adalah tanda penghargaan serta sokongan daripada kami kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut mengenainya, kenyataan tersebut turut memaklumkan, pihaknya memahami tugas serta pengorbanan petugas barisan hadapan yang berusaha sebaik mungkin untuk meratakan lengkungan wabak COVID-19 di negara ini.

Tambahnya, semoga perkongsian kecil daripada Rumah Prihatin dapat mengurangkan lelah, meredakan resah serta mengukir senyuman di wajah perwira barisan hadapan.

Terdahulu, sumbangan makan tengahari ini disampaikan Pengarah, Pengurus dan Liaison Officer Rumah Prihatin di setiap lima lokasi. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas