Berita

Misi bencana alam : Dua beradik timba pengalaman berharga

10 orang sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) turun padang membantu Misi Bantuan Banjir di Jerai dan Merbok, Sabtu lalu.
- Diterbit 28 Ogos 2021 1:00 AM MYT

TRAGEDI tanah runtuh, kepala  air dan banjir lumpur yang memakan korban kira-kira enam nyawa di Jerai dan Merbok, Kedah, 18 ogos lalu sememangnya mengejutkan seluruh negara.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang itu, hampir 2,000 penduduk terjejas teruk ekoran banjir lumpur setinggi dua kaki memenuhi setiap rumah dan menenggelamkan hampir keseluruhan kawasan tersebut.

Melihat keadaan yang mendukacitakan itu, RumahPrihatin@GrandSeasons tampil menghulurkan bantuan berbentuk makanan, pakaian dan sumbangan tunai kepada mangsa terlibat.

Bagi misi tersebut, seramai 30 Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) yang diketuai Pengarah Eksekutif RumahPrihatin@GrandSeasons, Datuk  Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah menggerakkan operasi.

Menceritakan pengalaman sebagai sukarelawan terlibat, Muhammad Amirul Arsad, 29, memberitahu, dia bersama adiknya. Muhammad Adeeb Arsad , 26, menyertai misi bantuan tersebut kerana ingin menyelami kesusahan yang dihadapi mangsa bencana alam berikutan kemusnahan melibatkan harta benda.

Katanya, keadaan yang berlaku itu telah membuka perspektif baharu mengenai jenis kesusahan yang menimpa mangsa bencana dan ia berbeza dengan kesusahan warga kota yang sering ditemui ketika menjalankan Program Jejak Prihatin.

“Bantuan pada kali ini amat berbeza berbanding program yang pernah saya sertai. Sebelum ini, saya beri bantuan kepada penduduk Projek Perumahan rakyat (PPR) dan pusat pemberian vaksin (PPV), tetapi kali ini saya perlu menghulurkan kepada mangsa bencana.

“Sudah pasti ia sesuatu yang baharu kerana bencana alam adalah perkara yang melibatkan kemusnahan terhadap harta benda dan ia turut melibatkan nyawa,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

AMIRUL

Jelas Muhammad Amirul, kesan itu turut melibatkan emosi kerana mangsa tidak berupaya menyelamatkan harta benda kerana tragedi itu berlaku dalam tempoh yang singkat dan tiada sebarang petanda awal.

“Semestinya ia bermain dengan emosi. Saya dapat merasakan kesedihan dan kesusahan yang dialami penduduk di sana apabila rumah mereka dipenuhi dengan lumpur dan banyak barangan berharga musnah.

“Sebagai sukarelawan, saya tidak mampu menghulurkan sumbangan dari segi kewangan tetapi hanya doa dan tenaga sahaja mampu diberi,” katanya.

ADEEB

Bagi adiknya, Muhammad Adeeb, perasaan hiba mengiringinya sewaktu dalam perjalanan membawa bantuan sumbangan daripada Rumah Prihatin.

“Sebagai sukarelawan, saya turut terkesan dengan kejadian yang menimpa penduduk di Jerai dan Merbok. Bagaimanapun, saya rasa gembira kerana diberi peluang untuk membantu menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Walaupun hanya membantu mengangkat barang bantuan daripada lori ke tempat penyimpanan barang, saya berasa lega kerana dapat menyumbang tenaga walaupun sedikit.

Tambahnya, meskipun bantuan dihantar ke luar Wilayah Persekutuan, pihak pengurusan RumahPrihatin mendidik kami mengenai sikap keprihatinan dan itu membuatkannya terpanggil untuk membantu. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas