Berita

GrabFood bantu kelompok bujang jana pendapatan tambahan

AFIQAH gembira meneruskan kerjaya sebagai penghantar makanan GrabFood dan menjana pendapatan demi kelangsungan hidupnya. AFIQAH gembira meneruskan kerjaya sebagai penghantar makanan GrabFood
- Diterbit 30 Julai 2021 10:04 AM MYT

RAMAI yang menyangka kelompok bujang tidak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hakikatnya mereka juga mempunyai tanggungan sendiri seperti pembiayaan kenderaan mahupun perumahan.

Menurut bekas pemandu pelancong, Afiqah Ariffin, 31, walaupun masih bujang, dia turut mempunyai tanggungan kewangan di samping perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk menjalani kehidupan harian.

Bercerita mengenainya, dia menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pasukan Grab Malaysia selepas pekerjaan sebagai pemandu pelancong terjejas akibat PKP dan penularan wabak COVID-19.

Katanya, penyertaan itu sebagai alternatif untuk menjana pendapatan sementara dan demi kelangsungan hidupnya dalam tempoh getir masa ini.

“Selepas pandemik COVID-19 mula memberi kesan pada awal tahun 2020, pendapatan saya sebagai pemandu pelancong mula terjejas kerana ramai pelancong membuat pembatalan.

“Sejak PKP bermula Mac 2020, saya terus hilang punca pendapatan kerana sempadan negara ditutup. Saya masih bujang tetapi masih perlu menanggung kos hidup,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Ekoran kesan penularan wabak yang berpanjangan, Afiqah meneruskan kerjaya sebagai penghantar makanan di bawah kendalian GrabFood.

Ujarnya, pekerjaan itu lebih mudah dilakukan kerana Grab Malaysia tidak menetapkan jadual penghantaran sebaliknya mereka menawarkan masa yang fleksibel kepada ahli.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai penghantar makanan dengan syarikat lain tetapi saya tidak lagi bekerja dengan syarikat itu kerana jadualnya yang tidak fleksibel dengan pekerjaan saya sebagai pemandu pelancong.

“Dengan Grab, saya boleh bekerja pada bila-bila masa tanpa mengikut jadual dan bagi saya ini lebih fleksibel.

“Malah, pendapatannya juga lumayan dan saya sudah melihat secara langsung pendapatan rakan-rakan penghantar GrabFood yang lain,” katanya sambil menambah, pada masa ini dia boleh menyara diri dan membiayai kos hidup dengan pendapatan daripada Grab.

Dalam pada itu, Afiqah memberitahu, individu yang terjejas seharusnya menyertai kerjaya yang ditawarkan Grab Malaysia seperti penghantar makanan di bawah GrabFood sebagai alternatif baharu untuk menjana pendapatan tambahan.

Katanya, ia disebabkan sistem bekerja penghantaran makanan adalah fleksibel dan amat memudahkan pekerjanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas