Berita

Rumah kongsi pekerja asing sesak punca jangkitan Covid-19

MAJIKAN perlu lebih prihatin untuk menyediakan tempat tinggal pekerja yang selamat daripada jangkitan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mei 2020 1:01 PM MYT

PUTRAJAYA – Penginapan sesak antara punca utama penularan Covid-19 kluster tapak pembinaan membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ruang yang sempit mengakibatkan penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

Katanya, warga asing berkenaan juga tidak mengamalkan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang memuaskan.

“Majikan bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

“Majikan juga harus memastikan amalan ini bukan di tempat kerja sahaja malahan di tempat penginapan.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja dan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham mengingatkan majikan supaya memastikan beberapa langkah dilaksanakan di tempat kerja antaranya penyediaan tempat mencuci tangan dan cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata, penyelesaian masalah penginapan pekerja asing memerlukan pendekatan yang menyeluruh secara bersepadu daripada semua pihak.

Katanya, arahan Majlis Keselamatan Negara supaya saringan terhadap
pekerja asing industri pembinaan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah satu langkah berjaga-jaga untuk menentukan status kesihatan pekerja sebelum dibenar bekerja semula. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas