Berita

Langkah kerajaan tangani PATI adalah tepat – MCCF

PATI akan dihantar pulang ke negara asal.
- Diterbit 27 Mei 2020 2:03 AM MYT

PUTRAJAYA – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyokong penuh usaha kerajaan yang tegas dan serius dalam menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini yang berlarutan sejak sekian lama.

MCCF
HALIM

Malah Pengerusinya, Halim Ishak menegaskan bahawa tindakan serbuan dan menangkap golongan terbabit di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah sesuatu yang bijak dan perlu diteruskan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menidakkan usaha kerajaan sebagai langkah yang tidak berasas serta tidak bertanggungjawab itu mementingkan diri sendiri.

“Saya juga merasa kesal dan sedih dengan ungkapan mereka tentang usaha murni kerajaan dalam menangani isu lambakan PATI di Malaysia.

“Ini kerana,di kala negara dilanda wabak Covid-19 ini, kerajaan perlu mengambil apa jua langkah keselamatan yang sewajarnya demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Halim menyarankan supaya setiap agensi yang terlibat menekankan sifat lebih telus dalam proses penghantaran pulang PATI yang ditahan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan pendirian kerajaan yang tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa tindakan penahanan PATI sebagai diskriminasi.

Malah Ismail Sabri Yakkob sebaliknya membidas kumpulan tersebut dan meminta mereka sedar bahawa PATI memasuki negara ini secara haram dan wajar dikenakan tindakan undang-undang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas