Berita

Lepas lolos, bersedialah dikompaun bila balik untuk bekerja

JANGAN ingat lepas lolos rentas negeri, polis tidak akan ambil tindakan. Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mei 2020 12:49 PM MYT

PUTRAJAYA – Penjawat awam dan pekerja swasta perlu bersedia untuk dikompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan itu tidak perlu menjadikan alasan takut sebagai punca untuk tidak pulang untuk bekerja semula.

“Seperti saya katakan, selepas dapat balik kampung, bukan ada jaminan tidak lepas daripada tindakan polis untuk balik semula ke tempat kerja. Berani buat, berani tanggung.

“Kalau balik semula tak boleh lolos, bayarlah kompaun. Kita tak tahan mereka pulang (untuk bekerja), kita galak mereka pulang tetapi jangan pula kerana takut dikompaun sehingga tak balik pula dan hilang kerja pula,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mulai esok, orang ramai boleh membawa ahli keluarga mereka mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan.

Beliau berkata, perkara itu susulan
pewartaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan Pindaan 2020 bagi kenderaan persendirian.

Beliau menjelaskan, perkara itu selaras dengan kawal selia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ini bermakna jika kapasiti empat penumpang maka pemandu campur tiga penumpang bagi kenderaan biasa.

“Bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) boleh membawa sehingga tujuh penumpang,” katanya.

Beliau menegaskan, penumpang itu hanya terdiri daripada ahli keluarga atau mereka yang duduk serumah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas