Berita

Rujuk perlembagaan sebelum keluar kenyataan -Annuar

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 24 Oktober 2020 5:29 AM MYT

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan perintah darurat yang mungkin dikuatkuasakan kerajaan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri TPr Annuar Musa.

Tegas Annuar, Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu merujuk Perlembagan Persekutuan di bawah perkara 150 kerana darurat mempunyai banyak jenis.

“Darurat mempunyai pelbagai jenis. Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan dan ekonomi sudah disenaraikan, pentaksirannya perlu merujuk kepada pakar undang-undang.

“Apapun tunggulah, kerana kerajaan belum membuat apa-apa keputusan kerana segalanya mesti mengikut jalur perundangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perlaksanaan progrsm MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar semalam mengenai pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, bagaimanapun sekiranya kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Beliau mendakwa, ketika ini sebanyak 32 buah negara telah pun mengistiharkan darurat sebagai usaha untuk menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kita sahaja yang belum istihar kerana setakat ini masih boleh urus dan saya tidak kata kerajaan akan istihar darurat.

“Walaupun saya anggota jemaah menteri dan terlibat dalam perbincangan, saya dapat nyatakan selagi ia tidak diumumkan atau tidak diputuskan, ia masih di peringkat awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan.

“Jadi buat masa ini tiada peristiharan biarlah perkara itu terus dibincangkan di pelbagai peringkat

“Yang penting kita harap apa jua tindakan biarlah keselamatan dan nyawa rakyat didahulukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas