Mygrocer@Wilayah bantu jimat perbelanjaan dapur B40 
MYGROCER@WILAYAH akan berada di 178 lokasi PPR selepas dilancarkan hari ini.

Mygrocer@Wilayah bantu jimat perbelanjaan dapur B40 

PELAKSANAAN program MyGrocer@Wilayah dapat mengurangkan kos sara hidup melalui pengurangan perbelanjaan dapur terutama kepada golongan berpendapatan rendah, B40.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, program pasar bergerak yang menjual barangan dapur dan makanan asas itu akan menjelajah ke 178 kawasan perumahan kos rendah awam dengan swasta secara berjadual.

“Harga jualan yang ditawarkan pengusaha trak MyGrocer@Wilayah adalah lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar awam.

“Teorinya adalah jika seseorang itu membelanjakan keperluan dapur RM300 ke RM500 sebulan, kalau boleh mereka jimatkan antara 10 hingga 20 peratus bermaksud mereka dapat jimat RM100 atau RM80 sebulan.

“Dengan cara itu, perbelanjaan keluarga dapat dikurangkan daripada membeli di pasaraya, perlu bayar minyak kereta dan tol serta harga barang agak mahal, kita perkenalkan konsep ini dengan bawa barang secara borong dari pusat borong terus ke PPR (projek perumahan rakyat) dengan harga mesti rendah dari pasaran,” katanya kepada pemberita sewaktu tinjauan program MyGrocer@Wilayah di PPR Air Panas di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, konsep tersebut masih di peringkat awal dan pihaknya akan menambah baik dari semasa ke semasa.

“Disebabkan program dilaksanakan di 178 kawasan, saya berpandangan bilangan trak yang disediakan tidak mencukupi.

“Saya lihat banyak bas-bas terpakai termasuk di Putrajaya lebih 100 bas yang tidak digunakan tapi masih dalam keadaan elok.

“Jika bas ini boleh diubah suai kemudian diletakkan secara statik menjadi kios di lokasi program, supaya lebih banyak barang dapur boleh dibawa dan kekerapan program dapat diperbanyakkan lagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, konsep tersebut masih di peringkat awal dan perlukan komitmen semua pihak bagi menjayakan program ini.

“Jika diikutkan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak membenarkan konsep menjaja seperti ini dan memerlukan lesen, sewa tapak namun kita kecualikan itu semua supaya program ini berjaya.

“Namun jika pengusaha tidak amanah, harga dinaikkan ia akan merugikan semua pihak,” katanya. – WILAYAHKU

ANNUAR (kanan) melihat kualiti bahan mentah yang dijual di MyGrocer@Wilayah.

CATEGORIES