Agama

Erti kemerdekaan hakiki

ERTI KEMERDEKAAN. - Gambar hiasan
- Diterbit 30 Ogos 2019 2:27 PM MYT

HARI Kebangsaan ke-62 bakal disambut pada 31 Ogos ini. Disinilah lahirnya
sebuah cinta dan rasa hormat kepada tanah air.

Erti hari ‘pembebasan’ ini cukup bernilai dengan harta, kehormatan dan darah setiap rakyat dilindungi.

Sejujurnya, erti kemerdekaan cukup luas dalam Islam.

Mahu tidak mahu, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu mengambil iktibar dan pengajaran setiap sejarah Islam supaya dijadikan pedoman memimpin kita untuk kehidupan yang lebih sempurna dan diredhai Allah SWT.

Kehadiran Islam itu sendiri membawa misi untuk memerdekakan manusia
daripada ketundukan kepada makhluk hanya secara mutlak kepada
al Khaliq.

Inilah yang menjadi pedoman sahabat Rasulullah SAW. Misi mewujudkan kemerdekaan hakiki untuk seluruh umat manusia itu juga terungkap menerusi dialog Jeneral Rustum (Parsi) dan Rabi’y Ibn ‘Amir (utusan Panglima Saad bin Abi Waqash) semasa Perang Qadisiyah untuk membebaskan Parsi.

Jeneral Rustum bertanya kepada Rabi’y Ibn ‘Amir, “Apa yang kalian bawa?” Rab’iy menjawab: “Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Allah telah mendatangkan kami agar kami mengeluarkan siapa saja daripada penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya dan daripada kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam.” [Ibnu Jarir ath-Thabari, Tarikh al-Umam wa al-Muluk, Dar al-Kutub al-’Ilmiyah, Beirut].

Misi Islam untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya tergambar secara jelas menerusi firman Allah SWT; “Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah syaitan yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan.” [Surah al-Baqarah, ayat 256] Ayat ini menunjukkan bahawa syariat yang diturunkan oleh Allah akan membebaskan manusia dari kegelapan menuju cahaya.

Inilah kemerdekaan hakiki dalam Islam. Sesungguhnya, Islam merupakan solusi total yang akan membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata, daripada kesempitan dunia menuju kelapangan-Nya, dan dari kezaliman agama dan ideologi lain menuju keadilan Islam.

Kemerdekaan inilah yang semestinya kita usahakan untuk diwujudkan dengan dua syarat utama iaitu meletakkan kedaulatan hanya milik Allah semata iaitu syariah dan bukannya berdasarkan akal fikiran manusia semata-mata.

Kedua, penerapan Syariat Islam dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan negara yang bakal membentuk kemerdekaan yang hakiki.

Penulis merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas