Berita

Roadshow pertama Tourism Malaysia ke Bangladesh

SYED Yahya (dua kanan) menyaksikan penyerahan token semasa pelancaran Roadshow baru-baru ini.
- Diterbit 19 Jun 2022 8:00 AM MYT

TOURISM Malaysia melancarkan roadshow pertamanya ke dua bandar utama di Bangladesh iaitu Dhaka dan Chattogram pada 2 hingga 7 Jun lalu selepas berehat selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19.

Roadshow tersebut diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman bersama-sama staf Tourism Malaysia yang terdiri daripada lima ejen pelancongan dan dua organisasi industri kesihatan.

Menurut Syed Yahya, selain menyakinkan warga Bangladesh untuk kembali ke Malaysia, roadshow ini bertujuan menyediakan platform bagi komuniti industri untuk kembali pulih di samping mengemudi sektor pelancongan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik.

“Bangladesh adalah salah satu sumber pasaran utama Malaysia dengan ketibaan 179,000 pelancong pada 2019.

“Pihak kami memerlukan langkah seperti ini (roadshow) kerana industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, Syed Yahya memberitahu pihaknya amat berbesar hati dan mengalu-alukan pelancong Bangladesh kembali ke jadual perjalanan yang lebih menarik bagi merasai pengalaman baharu dan terkini di Malaysia.

“Selepas beralih ke fasa endemik, masih banyak yang perlu diterokai, terutamanya di Taman Tema Genting SkyWorlds yang baru sahaja dibuka, Sunway Resort yang telah diubah suai dan tarikan baharu yang mengagumkan iaitu bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118,” ujarnya.

Malaysia telah membuka sempadan untuk perjalanan bebas kuarantin pada 1 April lalu bagi mengalu-alukan pelancong antarabangsa yang diberi vaksinasi sepenuhnya datang bercuti ke Malaysia.

Tambahnya, pelancong yang telah divaksinasi tidak lagi perlu menjalani ujian saringan COVID-19 pra-berlepas dan semasa ketibaan, termasuk kanak-kanak berumur 17 tahun ke bawah.

Pada masa ini, Malaysia menawarkan lebih daripada 3,910 tempat duduk setiap minggu antara Dhaka dan Malaysia melalui Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas