RM2.7 bilion bagi penambaikan infrastruktur luar bandar tepat pada masa

RM2.7 bilion bagi penambaikan infrastruktur luar bandar tepat pada masa

PERUNTUKAN RM2.7 bilion yang disalurkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 bagi penambahbaikan infrastruktur luar bandar disifatkan sebagai menyeluruh dan tepat pada masanya, demikian menurut pakar sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjelaskan, komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang perbezaan daripada segi sosial, fizikal dan infrastruktur melibatkan kawasan bandar dan luar bandar harus dipuji kerana ia mampu memberi kestabilan kepada perkembangan ekonomi dan politik negara.

“Kita lihat kerajaan memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur luar bandar, sebagai contoh daripada jumlah RM2.7 bilion itu, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer yang pada akhirnya memberi manfaat besar kepada lebih 290,000 penduduk luar bandar yang terbabit.

“Dengan wujudnya jalan-jalan baharu ini, pastinya akan dapat meningkatkan penjanaan ekonomi penduduk di luar bandar, serta dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat memandangkan pihak industri juga boleh membuka lebih banyak kilang-kilang di luar bandar,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Mohammad Shatar turut menjelaskan dengan wujudnya penambahan jaringan jalan raya di luar bandar dan jalan perhubungan desa ini sebenarnya akan dapat mengurangkan pergerakan atau penghijrahan keluar penduduk ke bandar-bandar, sekali gus dapat mengurangkan peratusan kesesakan jalan raya yang sudah sedia ada di sana.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan proaktif kerajaan yang bakal menyediakan peruntukan RM355 juta bagi Program Bantuan Rumah kepada golongan miskin, yang disifatkan dasar kerajaan ini pastinya dapat membantu memudahkan kumpulan isi rumah B40 menunaikan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

“Dengan pelbagai inisiatif dikemukakan kerajaan bagi membantu meningkatkan infrastruktur di luar bandar ini contohnya Program Bantuan Rumah ini, pastinya akan membuatkan masyarakat di luar bandar berasa tidak terasing atau dianaktirikan oleh kerajaan, perkara ini juga kita harus berikan pujian,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES